MBPG tangguh laksana cukai baharu - Utusan Malaysia

MBPG tangguh laksana cukai baharu

MOHD. AMIN AHMAD (tengah) memaklumkan MBPG menangguhkan cukai baharu yang menerima bantahan daripada orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan menangguhkan pelaksanaan cukai taksiran baharu yang dijadual berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ketua Whip MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Taksiran dan Cukai Harta bersetuju untuk mengkaji semula perkara itu dan keputusan itu turut disokong Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman yang mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPG di Menara Aqabah, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa, Ahli-Ahli Majlis MBPG telah mengambil pendirian untuk tidak meluluskan dan tidak mengesahkan senarai nilaian baru dan kadar cukai baharu ke atas pegangan di kawasan MBPG.

“Kami telah memohon agar MBPG menyemak semula dan mengemukakan kertas cadangan baharu untuk kadar cukai harta yang lebih rendah berbanding yang dicadangkan sekarang. Sehubungan itu, pelaksanaan kadar cukai harta baharu bagi kawasan MBPG akan tertangguh,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.

Mohd. Amin menambah, MBPG akan mengemukakan cadangan baharu untuk dihantar ke mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) untuk disemak sebelum diluluskan.

“Semua proses ini perlu bermula dari peringkat awal. Jadi ia akan memakan masa yang lama dan ini bermakna sebarang kadar baharu hanya akan dikenakan pada Januari 2025,” katanya.

Selain MBPG, empat lagi pihak berkuasa tempatan di negeri ini sedang menyemak semula cukai taksiran ialah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Sementara itu, Asman Shah berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemilik hartanah yang membantah cukai taksiran baharu baru-baru ini.

“Kami mendapati terdapat isu teknikal yang perlu kami semak dari segi kadar dan penilaian. Sebagai contoh, bagi hartanah strata, mereka akan diberi pilihan sama ada mempunyai kadar yang lebih rendah atau mempunyai perkhidmatan MBPG kerana kebiasaannya PBT hanya mengutip cukai daripada hartanah tersebut, dan perkhidmatan itu dikendalikan oleh badan pengurusan bersama (JMB) mereka,” katanya.

Jelasnya, MBPG sebelum ini pernah mencadangkan untuk melaksanakan cukai taksiran sebanyak lapan peratus setahun untuk lima tahun akan datang tetapi ditolak kerajaan negeri.

“Ini adalah lebih baik untuk rakyat dan pihak majlis kerana selepas tempoh lima tahun, peningkatan hanya melibatkan 40 peratus. Pada masa ini, kita akan memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa MBPG tidak akan melaksanakan kadar baharu ini dan akan mengkaji semula perkara ini supaya lebih adil kepada penduduk di Pasir Gudang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya