Mardi giat hasil benih bawang merah, perluas kawasan tanaman  - Utusan Malaysia

Mardi giat hasil benih bawang merah, perluas kawasan tanaman 

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) optimis penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankannya mampu mengurangkan kebergantungan kepada import bawang negara dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menjalankan penyelidikan bawang secara intensif sejak 2020 bagi memperkenalkan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah dalam agroklimat negara melalui tindakan inovasi dan R&D. 

“Ekoran krisis bekalan bawang import akibat bencana banjir besar di India pada tahun 2020 yang mengakibatkan harga jualan bawang meningkat sehingga tiga kali ganda daripada RM3 sekilogram kepada RM16 perkilogram, kita mengambil keputusan menggiatkan lagi aktiviti penyelidikan bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang.

“Strategi kajian yang  dijalankan melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Zabawi berkata, tiga varieti bawang merah  berjaya dilancar sempena Show Tech Mardi 2023 pada Ogos lalu iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 iaitu hasil daripada kajian pengadaptasian dan penilaian terhadap koleksi bahan genetik kajian terdahulu, koleksi pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa.

“Ketiga-tiga varieti bawang merah Mardi sesuai ditanam di tanah rendah dengan tanah yang berbeza iaitu mineral, BRIS dan gambut

“Kualiti bawang merah diperoleh adalah sama seperti bawang import di pasaran iaitu bersaiz 25-35 sentimeter, berwarna merah terang dan menarik, segar dan tahan kepada serangan serangga dan penyakit, serta mampu mengeluarkan hasil sekitar 4-6 tan/hektar,” katanya.

GIAT

Kata  Mohamad Zabawi, Mardi kini sedang giat mengkomersialkan pengeluaran benih dan bahan tanaman utama bawang merah dalam usaha meluaskan tanaman di dalam negara agar teknologi ini mampu berdaya saing, demi memastikan kedaulatan makanan terjamin serta meningkatkan ekonomi negara.

Kata  beliau, pengkomersialan pengeluaran bawang merah Mardi akan bermula pada awal tahun hadapan dengan tumpuan kepada pengeluaran benih dan perluasan kawasan di plot-plot usahawan tani.

“Mardi kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di Ibu pejabat Mardi untuk kita edarkan kepada petani-petani yang kita telah kenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang.

“Pada tahun hadapan, Mardi dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga bercadang untuk kembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Mardi berhasrat untuk mempertingkatkan kepada 40 hektar pada 2025 dan seterusnya meningkat kepada 100 hektar menjelang tahun 2030. 

“Mengikut perkiraan kita sekiranya setiap hektar tanah dapat menghasilkan bebawang kering sebanyak lapan tan, 40 hektar boleh dapatkan 320 tan bawang, kita jangka negara mampu mengurangkan kebergantungan import dari negara luar dalam masa lima tahun,” katanya.

Menurut Mohamad Zawawi, Mardi turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk mewujudkan pusat pengeluaran benih bawang di Negeri Perak.

“Hab bawang yang akan diwujudkan tersebut akan dikendalikan oleh usahawan tani di bawah PPPNP dan akan membekalkan benih kepada pengeluar bawang merah di negeri Perak yang berminat.

“Untuk permulaan, seramai 17 orang usahawan telah menjalani kursus pengeluaran bawang di Mardi sebagai langkah awal pemindahan teknologi kepada golongan sasar,” tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya