Mahkamah benarkan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat ditarik balik - Utusan Malaysia

Mahkamah benarkan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat ditarik balik

M. RAMASAMY (kanan) bersama Muhammad Shafee selepas Mahkamah Pilihan Raya di Seremban membenarkan permohonan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat yang difailkan oleh Ramasamy sebelum ini untuk ditarik balik.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Pilihan Raya, di sini, hari ini membenarkan permohonan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M. Ramasamy sebelum ini untuk ditarik balik.

Hakim, Datin Rohani Ismail membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan daripada peguam Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk tidak meneruskan petisyen serta tiada perintah kos yang dikenakan susulan petisyen tersebut.

Hakim juga berpuas hati setelah mendengar kesemua pihak iaitu peguam, Lau Yi Leong mewakili Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran dan Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud dan Noridayu Md Kassim yang mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersetuju dengan hujahan Muhammad Shafee.

“Mahkamah dengan ini membenarkan seperti mana petisyen pilihan raya dibatalkan dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan calon BN itu supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan telah memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April lalu yang menolak petisyen rayuan Ramasamy selepas menerima bantahan awal dibangkitkan responden.

Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat, R.Yuneswaran sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah tersebut menyatakan penarikan petisyen berkenaan dibuat atas sebab kedua-dua pihak kini di bawah satu gagasan yang sama.

“Hari ini penarikan balik petisyen yang difailkan Ramasamy. Seperti yang difahami bahawa petisyen ini pada permulaannya di Mahkamah Pilihan Raya tetapi walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah bersetuju dengan kami untuk petisyen ini dijalankan sepenuhnya secara perbicaraan.

“Bagaimanapun oleh sebab kedua-dua pihak dalam satu kumpulan kerajaan yang bersatu jadi it become very difficult… kalau menang, katakan lah Tan Sri (Ramasamy) menang, siapa nak jadi calon pula. Jadi kami tidak teruskan,” katanya.

Sementara itu, Ramasamy pula menyatakan tidak meneruskan petisyen berkenaan atas sebab kini kesemuanya di bawah satu Kerajaan Perpaduan.

“Tidak guna gaduh sebab itu saya withdraw (tarik diri) kerja bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerja bersama dengan yang sedia ada (Yuneswaran),” katanya.

Manakala, Yi Leong berkata, berikutan keputusan mahkamah hari ini kedudukan responden pertama sebagai ahli Parlimen tidak diganggu dan kekal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi, mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P. Poobalan dan Syed Hairoul Faizey daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN