SEREMBAN: Seramai 97 pelumba basikal dari 19 pasukan akan berentap dalam Jelajah Negeri Sembilan 2023 yang bermula esok hingga Ahad ini.
Sebanyak lapan pasukan yang bertanding mewakili negeri manakala bakinya adalah kelab lumba basikal.
Saingan kali ini mempunyai ‘perisa’ antarabangsa dengan turut menarik minat dua buah kelab berbasikal luar negara iaitu dari Filipina dan Myanmar.
Perlumbaan itu yang diadakan sebanyak empat peringkat akan melibatkan jarak secara keseluruhannya sejauh 372 kilometer di negeri ini.
Peringkat pertama bermula di Dataran Senawang di sini hingga Seri Menanti di Kuala Pilah manakala peringkat kedua membabitkan laluan antara Gembox di Nilai hingga Stadium Tampin.
Peringkat ketiga bermula di Bandar Sri Sendayan (BSS) ke Port Dickson dan Rembau sebelum berakhir di BSS manakala saingan peringkat kriterium adalah sekitar BSS.
Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak empat jersi menjadi rebutan dalam perlumbaan itu iaitu kuning untuk juara keseluruhan, hijau (raja pecut), merah (raja bukit) dan putih (juara bawah 23 tahun).
Beliau berkata, Jelajah Negeri Sembilan adalah berskala kecil yang bermatlamat sebagai salah satu inisiatif program pembangunan sukan berbasikal di Malaysia dan perlumbaan kali ini merupakan edisi yang kelapan.
“Walaupun magnitud penganjurannya adalah lebih kecil berbanding kejohanan besar seperti Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), tetapi ia mempunyai objektif tersendiri terutamanya bagi mencungkil serta mengasah bakat baharu pelumba basikal tanah air.
“Dengan adanya perlumbaan seperti ini, persatuan-persatuan negeri dapat menguji prestasi dan persediaan pelumba masing-masing menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) edisi Ke-21 yang bakal berlangsung di Sarawak pada tahun hadapan,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pengenalan Pasukan pada pertandingan itu di sini hari ini.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor.
Bagi memeriahkan perlumbaan kali ini, Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan turut bekerjasama dengan Havoc Mini Food Festival 2023 yang menawarkan pelbagai makanan kepada para pengunjung serta persembahan artis jemputan.-UTUSAN.