Lesen MYAirline digantung serta-merta - MAVCOM - Utusan Malaysia

Lesen MYAirline digantung serta-merta – MAVCOM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) malam tadi mengumumkan penggantungan lesen perkhidmatan udara (ASL) MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) berkuat kuasa serta-merta. 

Menurut MAVCOM, keputusan itu selaras dengan seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

“Suruhanjaya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober 2023. Di dalam surat tunjuk sebab tersebut, MAVCOM  mengarahkan MYAirline untuk memberikan penjelasan berhubung isu kegagalan syarikat penerbangan tersebut untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober 2023. 

“MAVCOM telah menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Oktober 2023. Setelah mengkaji penjelasan bertulis tersebut, MAVCOM  memutuskan menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan syarikat penerbangan tersebut tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Dalam kenyataan sama, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pihaknya mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun khuatir ia boleh memberi kesan kepada usaha untuk memulakan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas. 

MYAirline masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik terhadap penumpang-penumpang yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), walaupun lesen perkhidmatannya telah digantung.

Menurut MAVCOM, lebih daripada 117,000 penumpang dianggarkan terjejas susulan penggantungan operasi MYAirline, dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih RM22 juta untuk penerbangan berjadual dari 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024. 

“Sebahagian besar jualan hadapan adalah daripada agensi pelancongan sebanyak 58 peratus (RM12.8 juta), diikuti oleh 41.8 peratus (RM9.2 juta) daripada pembayaran yang dibuat menggunakan kad kredit atau debit.

“Pasukan Petugas MAVCOM telah diberi mandat untuk melihat isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya. Ini termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan. 

“Sementara itu, MAVCOM akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi mencari penyelesaian buat penumpang-penumpang yang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya