Lelaki perlu berani tampil, adu gangguan seksual - Nancy - Utusan Malaysia

Lelaki perlu berani tampil, adu gangguan seksual – Nancy

NANCY SHUKRI (tengah) melawat gerai pameran sempena Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Golongan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual dinasihatkan lebih berani untuk mengikis perasaan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan itu didapati lebih gemar memendam perasaan tentang insiden yang menimpa mereka.

“Daripada keseluruhan aduan diterima berkaitan gangguan seksual, hanya kira-kira 10 peratus melibatkan mangsa lelaki sedangkan mereka juga terima gangguan seksual sama ada berbentuk sentuhan atau lisan.

“Oleh itu, kita galakkan golongan lelaki untuk lebih berani dan tampil membuat aduan, ini termasuk juga dalam kalangan kanak-kanak, khususnya pelajar sekolah. Kita tidak mahu ada kesulitan dalam menerima aduan sama ada lelaki atau wanita, layanan seharusnya tiada beza.

“Gesaan ini dibuat kerana kita dapati tahap kesedaran masih rendah, atau mereka takut implikasi kerana kebiasaannya pelaku gangguan seksual di tempat kerja melibatkan pegawai atasan mereka. Kita tahu laporan polis tidak ramai buat tetapi di pihak kementerian, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kita terima banyak aduan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat daripada 378 kes pada 2020 menjadi 506 kes pada 2021, namun terdapat penurunan pada 2022, iaitu 477 kes.

Sehubungan itu, Nancy berharap penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual dapat membantu mangsa membuat aduan, sekali gus menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan dengan cepat, mudah serta kos minimum.

“Pada waktu ini tribunal itu akan beroperasi di Semenanjung dan berpusat di Putrajaya, namun saya akan syorkan agar wakil dari Sabah dan Sarawak turut dilibatkan bagi memudahkan aduan diterima dari kedua-dua negeri itu.

“Menerusi tribunal ini, tindakan boleh diambil daripada sudut sivil, jadi mereka boleh buat tuntutan, dan denda,” jelasnya.

Pada 10 Oktober lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya