Lelaki parah ditetak dengan pedang

Lelaki parah ditetak dengan pedang

TUAN Mohamad Fitri Tuan Rozimi menunjukkan lokasi kejadian tetak di dalam kedainya di Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan pedang oleh dua individu bertopeng semasa berada di sebuah kedai nasi lemak di Kampung Wakaf Berangan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, salah seorang daripada dua lelaki bertopeng yang masuk ke dalam kedai berkenaan bertindak melibas pedang ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, mangsa yang sedang berbual-bual dengan rakannya itu telah mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk rawatan.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terpaksa di rujuk me Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah ditetak beberapa kali pada bahagian badan dan tangan.

“Kedua-dua lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri menggunakan sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti identitinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaizul Rizal memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan motif kejadian masih belum dikenal pasti, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, pemilik kedai Tuan Mohamad Fitri Tuan Rozimi, 27, berkata, kejadian berlaku dengan cukup pantas dan tiada seorang pun yang berani menghalang suspek.

Katanya, semasa kejadian mangsa cuba menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi namun suspek tetap bertindak menetak walaupun sudah rebah di luar kawasan kedai.

“Ini adalah kejadian ngeri yang pertama sejak saya menjalankan perniagaan nasi lemak. Saya gagal menolong mangsa kerana khuatir ditetak suspek.

“Ekoran itu, saya tidak membuka perniagaan kerana trauma. Saya turut dikejar suspek kerana menegur perbuatan mereka ketika kejadian,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN