Lebih 300 projek perumahan swasta  hampir RM30 billion dipulihkan - Utusan Malaysia

Lebih 300 projek perumahan swasta  hampir RM30 billion dipulihkan

Kenaikan harga barang binaan menyebabkan kontraktor kelas G1 gagal siapkan projek Rumah Mampu Milik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 301 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM28.88 billion berjaya dipulihkan oleh Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai, setakat 30 September 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ia hasil usaha pasukan tersebut yang meneliti setiap tindakan dan inisiatif yang dijalankan bagi mencegah serta memulihkan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.

Menurut beliau, pasukan khas itu juga mengenal pasti punca masalah dan penyelesaian secara berfokus untuk setiap perumahan swasta sakit dan terbengkalai.

“Antaranya menambah baik pelaporan untuk mengesan senarai projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai bagi menghasilkan statistik secara bulanan mengikut kategori jenis projek, peratusan lewat atau sakit serta punca masalah setiap projek untuk mengenal pasti kaedah penyelesaian.

“Pasukan petugas khas ini juga mengadakan pemantauan dan lawatan tapak secara berkala bagi melihat sendiri prestasi kerja-kerja di tapak,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

SYOR

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai langkah yang diambil untuk melaksanakan syor yang dikemukakan oleh pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit Dan Terbengkalai yang diwujudkan baru-baru ini.

Pada masa sama, Akmal menjelaskan, pasukan itu turut mengadakan libat urus bersama agensi-agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudah cara kerja-kerja penyiapan komponen infrastruktur, bekalan elektrik, lampu jalan, jalan raya serta sistem kumbahan sehingga projek siap mengikut sijil yang ditetapkan.

“Task Force itu juga mengadakan libat urus bersama Bank Negara dan institusi kewangan supaya pemantauan dan kawalan terhadap Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) adalah lebih bersepadu dan menambah baik sistem pengurusan integrasi perumahan (HIMS).

“Ini dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pemantauan terhadap pemaju supaya pelaporan pemajuan, perkongsian data dan pengemaskinian maklumat projek dapat dilaksanakan secara near real-time.

Selain itu, katanya, kementeriannya turut melaksanakan beberapa inisiatif lain antaranya carian yang dibuka kepada umum di portal perumahan setempat iaitu Sistem Bank Data Perumahan Negara bagi mengenal pasti status setiap projek perumahan swasta sebagai panduan bakal pembeli rumah dan pihak pembiaya sebelum meluluskan sesuatu pinjaman perumahan baharu dan mengawal bayaran kemajuan kepada pemaju sedia ada.

“Melaksanakan pemantauan yang lebih kerap termasuk pembekuan HDA bagi projek-projek sakit terpilih untuk mengelakkan pengeluaran wang secara tidak bertanggungjawab oleh pemaju.

“Ini termasuk menyenarai hitam pemaju dan Ahli Lembaga Pengarah dan menyekat pemaju projek sakit daripada memohon permit iklan dan jualan yang baharu selagi projek sakit sedia ada belum disiapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya