GUA MUSANG: Seorang pemuda berlari sejauh 100 meter sambil berkaki ayam untuk menyelamatkan diri selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai merempuh seekor harimau belang dalam kejadian Jalan Gua Musang-Jeli, di sini, malam tadi.
Kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku semasa mangsa, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam perjalanan ke Sungai Terah untuk bermain badminton sebelum haiwan liar itu keluar dari kawasan hutan secara tiba-tiba.
Muhammad Zulhilmi berkata, semasa kejadian motosikal yang ditungganginya itu sedang mendaki bukit dalam keadaan suasana gelap gelita.
Menurutnya, dia kemudian dikejutkan dengan kehadiran pak belang itu arah kanan jalan dan telah merempuh bahagian tayar hadapan motosikal.
“Kejadian berlaku sekelip mata, namun saya sempat melihat kelibat harimau belang itu yang setinggi hampir satu meter.
“Tanpa memikirkan kesakitan yang dialami pada bahagian muka, badan dan kaki selepas terjatuh, saya terus bangun dan berlari sejauh 100 meter untuk mendapatkan pertolongan daripada pengguna jalan raya lain dengan menyalakan lampu telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Lembaga di sini hari ini.
Muhammad Zulhilmi memberitahu, dia bersyukur apabila seorang pemandu wanita memberhentikan kenderaan dan membawanya saya ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, akibat kemalangan itu dia mengalami kecederaan di bahagian atas kening kanan, lutut dan kaki kiri.
“Alhamdulillah saya selamat dan situasi semasa kejadian berlaku sangat menakutkan kerana bimbang harimau terbabit kembali menyerang saya.
“Saya pun tidak pasti adakah harimau itu sememangnya bertindak untuk menyerang saya atau sekadar melintas jalan kerana suasana di laluan terbabit sangat gelap dan berhampiran kawasan hutan,” ujarnya.
Muhammad Zulhilmi berkata, dia masih belum membuat laporan polis tentang kejadian yang berlaku kerana pergerakan masih terbatas selepas menerima rawatan.
Katanya, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah mengambil kesan bulu harimau yang melekat pada tayar motosikalnya untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah ke lokasi kejadian dan masih menyiasat kejadian yang berlaku.
Katanya, kesan bulu yang ada pada motosikal mangsa sudah di hantar ke makmal untuk pengesahan adalah haiwan terbabit adalah harimau belang seperti yang didakwa.-UTUSAN