KSM komited tangani isu ketidakpadanan pekerjaan - Utusan Malaysia

KSM komited tangani isu ketidakpadanan pekerjaan

MUSTAPHA Sakmud (tengah) menemui sebahagian pencari kerja selepas merasmiakn Program Karnival Kerjaya MyFuturejobs X Siswa Madani UiTM 2023 di UiTM Rembau, Negeri Sembilan hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited memastikan isu ketidakpadanan pekerjaan mengikut keperluan industri terutamanya membabitkan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) dapat ditangani.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, usaha berkenaan sentiasa dijalankan pihak kerajaan bersama universiti dengan mengenal pasti apakah keperluan sebenar industri.

“Ekonomi negara kini dilihat semakin baik dan banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan namun isunya sekarang graduan yang dilahirkan tidak padan dengan permintaan industri. Kami cuba untuk padankan dan kami tidak mahu lagi banyak kerja kosong tetapi tidak bersesuaian dengan sijil, diploma, ijazah yang dimiliki graduan.

“Jadi berlaku ketidakpadanan, ini yang cuba kita kurangkan. Langkah yang diambil antaranya menerusi karnival kerjaya. Beberapa agensi dalam Kementerian Sumber Manusia seperti TalentCorp juga pergi ke universiti bagi membantu membuat pemprofilan dan padankan dengan industri di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya MyFuturejobs X Siswa Madani Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023 di UiTM Rembau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Dr. Yamin Yasin dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir.

Dalam pada itu, Mustapha turut memaklumkan, pihaknya menerusi Perkeso juga ada melaksanakan Program Bina Kerjaya bagi melatih mana-mana individu mendapat sijil yang sesuai dengan keperluan industri.

Menurutnya, melalui program berkenaan, peserta akan menjalani latihan bersesuaian dengan keperluan industri antara tiga hingga enam bulan untuk diserapkan walaupun kelayakan tidak berpadanan sebelum ini.

“Kursus berkenaan dibiayai sepenuhnya menerusi Perkeson dan peserta juga akan mendapat elaun sebanyak RM300 sebulan. Mungkin ada pekerja gig yang kata boleh dapat lebih dari RM300 ini (sebulan), namun apa yang ingin saya nasihatkan adalah program ini akan melatih belia untuk lebih menepati dengan keperluan industri masa kini.

“Ini sekaligus akan membantu usaha kerajaan dalam mencapai sekurang-kuranya 35 peratus tenaga kerja mahir di negara ini menjelang tahun 2030,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya