KPKWM-MOT bincang isu cermin gelap kenderaan - Utusan Malaysia

KPKWM-MOT bincang isu cermin gelap kenderaan

NANCY SHUKRI menyampaikan Pingat Hang Tuah kepada Altamis Faiz Shahrullizam sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) tentang penggunaan cermin gelap  sebagai salah satu usaha mencegah insiden anak tertinggal dalam kenderaan persendirian yang semakin banyak dilaporkan berlaku kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perbincangan dengan kementerian berkenaan perlu memandangkan perkara itu di bawah bidang kuasa MOT.

“Kita tidak ada kuasa tentang cermin gelap kenderaan, tetapi kita maklum ada pihak di luar sana minta diambil tindakan untuk tidak membenarkan cermin gelap atau ‘tinted’, tetapi itu bukan di bawah kita.

“Perkara itu terpulang kepada pihak berkenaan untuk melihat perkara itu. Sebelum ini saya ada bertemu dengan menteri berkaitan tetapi secara kasual sahaja sama ada perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita tahu ini antara punca,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kes penderaan kanak-kanak yang kerap dilaporkan berlaku adalah disebabkan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat apabila lebih ramai pihak tampil membuat aduan dan laporan.

“Sebagai conto, ñ kes-kes yang ditularkan dalam media sosial, kita dapati kes berkenaan dapat diatasi dengan baik menerusi kerjasama pelbagai pihak yang cakna dengan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Mengulas tentang statistik penderaan kanak-kanak di negara ini, Nancy memberitahu, lebih ramai mangsa terdiri dalam kalangan kanak-kanak perempuan berbanding lelaki.

“Seramai 3,338 kanak-kanak perempuan menjadi mangsa penderaan sama ada secara fizikal, seksual atau emosional, berbanding 1,868 kanak-kanak lelaki sejak awal tahun hingga Ogos lalu.

“Sama seperti statistik tahun lalu, seramai 4,303 kanak-kanak perempuan menjadi mangsa penderaan daripada keseluruhan 6,770 kes yang dilaporkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya