PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah telah melupuskan barang rampasan bernilai RM38.53 juta melibatkan pelbagai kesalahan di seluruh negara hasil penguatkuasaan bermula 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia termasuk barang rampasan berkaitan dakwat mesin pencetak bernilai RM2.9 juta yang dilupuskan hari ini.
“Sepanjang tahun 2023, Bahagian Penguatkuasa KPDN telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkaitan antaranya bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, cetak rompak, barang tiruan, halal, sewa beli, metrologi, skim anti pyramid, jualan langsung dan penipuan dalam talian.
“KPDN bermula 1 Januari sehingga 31 Oktober lalu telah memeriksa sebanyak 713,745 premis dan daripada jumlah itu, sebanyak 10,937 tindakan kes telah diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM82.14 juta.
“Selain itu, sebanyak RM8.22 juta kompaun telah dikeluarkan melibatkan 8,519 kes di seluruh negara manakala 96 kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM2.3 juta dalam tempoh yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Cenviro Sdn. Bhd., Bukit Pelandok, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Pada majlis tersebut, dakwat mesin pencetak bernilai RM2.9 juta dilupuskan hasil rampasan mengikut Akta di bawah Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).
Sementara itu, kata beliau, berdasarkan kepada tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan tersebut, sebanyak 1,490 kes yang melibatkan barang sitaan telah dilupus dan dijadikan hasil kerajaan seperti hasil kutipan sementara dijadikan hasil kerajaan iaitu sebanyak RM5.51 juta.
“Hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus sebanyak RM3.44 juta serta pemusnahan barang-barang kes bernilai RM29.58 juta.
“KPDN melalui tindakan penguatkuasaan juga telah mengutip sebanyak RM49.04 juta hasil dalam tempoh Januari sehingga Oktober 2023 dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya lagi.-UTUSAN.