Kerajaan Kelantan ajak rakyat pertahan enakmen jenayah syariah

Kerajaan Kelantan ajak rakyat pertahan enakmen jenayah syariah

MOHD. Asri Mat Daud (tengah) menunjukkan risalah berkaitan Himpunan Munajat Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin di Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk terus mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 menerusi satu Himpunan Munajat Enakmen Syariah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 18 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd. Asri Mat Daud berkata, tindakan itu susulan enakmen tersebut sedang dicabar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya

“Himpunan ini adalah salah satu langkah untuk mempertahankan enakmen tersebut. Seluruh rakyat di negeri ini perlu mengambil tahu tentang perkara tersebut (Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019).

“Kita akui ada individu yang telah bertindak mencabar enakmen tersebut sejak ia dilaksanakan di negeri ini. Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Asri memberitahu, hal ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sudah mewartakan enakmen tersebut selepas ia diluluskan.

Katanya, rakyat perlu bersama-sama kerajaan dalam usaha memastikan enakmen berkenaan kekal terpelihara kerana ia merupakan isu nasional dan bukannya memihak kepada mana-mana parti politik.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Petisyen tersebut difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Petisyen itu didengar oleh panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Terdahulu pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai persekutuan, secara automatik adalah terbatal.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN