JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta untuk menyemak semula skim perkhidmatan pembantu tadbir yang kekal pada gred lantikan 19 sejak 73 tahun lalu.
Presiden Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Kebangsaan, Ashman Mohd. Nawawi berkata, syarat lantikan perkhidmatan pembantu tadbir yang menggunakan kelulusan tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya perlu ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf.
“Tangga gaji Gred 19 skim perkhidmatan pembantu tadbir contohnya bermula dengan pendapatan RM1,352 sebulan, ini tidak termasuk elaun tambahan dan jumlah itu meletakkan mereka pada tahap paras kemiskinan.
“Perkara itu tidak wajar berlaku kerana tanggungjawab pembantu tadbir semakin meningkat, malah ada antara 350,000 mereka berkelayakan tinggi seperti ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah Ph.d),” katanya semasa menghadiri Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sini hari ini.
Ashman yang juga Naib Presiden (Sektor Awam) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut memberitahu, pihaknya dimaklumkan antara sebab skim itu masih tidak disemak adalah melibatkan implikasi kewangan yang besar.
“Namun, ia sebenarnya merupakan satu langkah penjimatan kerana kerajaan dapat menyusun semula perkhidmatan sedia ada yang banyak dilihat bertindih antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung AUEGCAS Kebangsaan, Amir Hamzah Yakat Ali pula memberitahu, pihaknya amat berharap syarat lantikan gred pembantu tadbir dapat dinaikkan kepada Gred 29.
“Dahulu syarat kemasukan adalah SPM, namun ketika ini ramai penjawat awam memiliki taraf pendidikan lebih tinggi, ditambahkan dengan tanggungjawab yang lebih banyak berbanding dahulu,” jelasnya.
Julai tahun lalu, CUEPACS mengesa kerajaan menaikkan tangga gaji pembantu tadbir daripada Gred 19 kepada Gred 29 dan memaklumkan pihaknya akan mengadakan piket di Putrajaya.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dilaporkan berkata, semakan gaji sebelum ini telah dibuat pada 2015, manakala semakan seterusnya sepatutnya dibuat pada 2020 namun tertangguh akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN