Kembangkan projek pertanian tanah terbiar di tanah adat - Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Kembangkan projek pertanian tanah terbiar di tanah adat – Tuanku Muhriz

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sewaktu bertitah pada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli Tahun 2023 di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-GAMBAR/JABATAN PENERANGAN NEGERI SEMBILAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir meminta supaya program pembangunan tanah-tanah kerajaan terbiar kepada projek tanaman pertanian berteknologi tinggi yang sedang dimulakan kerajaan negeri turut dapat dikembangkan ke tanah-tanah adat.

Baginda bertitah, langkah berkenaan dilihat memberi peluang kepada pemilik-pemilik tanah adat mendapat pendapatan tambahan dan membantu dalam meningkatkan daya pengeluaran makanan tempatan.

“Beta disembah maklum bahawa pihak kerajaan sedang memulakan program Inisiatif Usahawan Tani yang membangunkan tanah-tanah kerajaan terbiar kepada tanaman pertanian menggunakan teknologi tinggi. 

“Fasa pertama dijangka akan dimulakan di tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Rembau dan para peserta adalah terdiri daripada golongan asnaf MAINS. 

“Beta mencadangkan agar program ini dikembangkan juga kepada pemilik-pemilik tanah adat agar mereka berpeluang mendapat pendapatan tambahan dan membantu dalam meningkatkan daya pengeluaran makanan tempatan,” titah baginda pada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli Tahun 2023 di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah lagi, tanah-tanah adat juga boleh menjana pendapatan melalui projek ladang solar dengan penjualan tenaga elektrik solar kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

“Syarikat-syarikat swasta yang berada dalam industri ini boleh memulakan kajian mengenai prospek ini dan mengadakan perbincangan dengan para pemilik tanah adat. Pertanian berteknologi tinggi dan projek ladang solar yang beta sebutkan, hanyalah dua inisiatif yang boleh dipertimbangkan segera pada masa ini. 

“Namun beta percaya masih ada banyak lagi peluang dan cara lain yang boleh difikirkan untuk memajukan tanah-tanah adat,” menurut baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga apabila Enakmen Tanah Adat (Lingkungan / Luak Tanah Mengandung) 2022 telah berkuatkuasa pada 29 Disember 2022 yang lalu.

“Enakmen ini memudahkan usaha pembangunan tanah adat Lingkungan dan Luak Tanah Mengandung. Oleh itu, beta amat menggalakkan semua empunya tanah serta para penyandang pusaka adat di perut dan luak, bermuafakat dalam mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk membangunkan tanah mereka dan seterusnya menambah pendapatan,” jelas Tuanku Muhriz lagi.

Sementara itu baginda bertitah, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli merupakan tradisi yang telah dimulakan sejak zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah.

Menurut Tuanku Muhriz, istiadat berkenaan bermula melalui kesepakatan yang dibuat pada 29 April 1898 oleh Penghulu-Penghulu Luak yang bernaung di bawah payung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. 

“Istiadat ini mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada Raja dan kedaulatan Raja sebagai payung pemerintahan yang bersesuaian dengan perbilangan adat,  ‘Alam Yang Berajo dan Luak Yang Berpenghulu`. 

“Selain itu, istiadat ini juga merupakan lambang kemegahan pemerintahan beraja di Negeri Sembilan yang pada tahun ini genap usianya 250 tahun,” kata baginda lagi.

Dalam pada itu, satu logo khas sempena Ulang Tahun ke-250 Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan turut dilancarkan oleh Tuanku Muhriz hari ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN