JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedang mentransformasikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan supaya terus kekal relevan.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi berkata, perancangan TVET 2.0 itu akan melibatkan pemain industri sebagai rakan strategik bagi memastikan kemahiran dan pendedahan yang ditawarkan kepada penuntut selari dengan keperluan pemain dan industri.
“Modul disesuaikan dengan keperluan industri supaya peserta kita menepati kehendak pasaran, boleh bekerja atau mampu jalankan perniagaan sendiri.
“TVET ini kita sudah laksanakan puluhan tahun, sudah sampai masa kita kena sesuaikan program TVET yang dianjurkan Kemas mengikut keadaan semasa.
“Justeru, kita melancarkan program TVET 2.0 yang memberi fokus untuk tambah nilai menjadikan program ini sesuai untuk masyarakat, kerana asas tumpuan kerajaan kepada TVET sekarang ini,” katanya selepas merasmikan program Wanita Inspirasiku (WINS) di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.
Ahmad Kamal Idris berkata, pada mulanya TVET di Kemas tidak menawarkan sijil kemahiran dan perkara itu telah ditambah baik dengan ketika ini menawarkan kursus separuh masa untuk peserta mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Katanya, Kemas juga mempunyai dua akademi kemahiran yang menawarkan kursus sepenuh masa dalam bidang jahitan, iaitu pembuatan pakaian wanita dan lelaki serta bidang kulinari.
Mengenai program WINS, katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha Kemas untuk menggalakkan usahawanita berkongsi pengalaman mereka dari awal hingga berjaya.
“Sejak program ini dilancarkan pada 2019, seramai 6,011 usahawanita telah mendapat manfaat daripadanya. Mereka yang dibentuk menerusi program Kemas akan diberikan platform untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan sehingga membantu mereka mengembangkan perniagaan,” katanya. – UTUSAN