Kelindan lori didakwa cuba bunuh anggota polis

Kelindan lori didakwa cuba bunuh anggota polis

MOHAMAD Hafiz Naharoddin (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas tuduhan cuba membunuh anggota polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis di depan sebuah masjid di Chenderong Balai dekat sini, bulan lalu.

Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh dengan memandu kereta Myvi berwarna merah secara berbahaya terhadap Koperal Nik Mohd. Khairul Izwan Nik Jid, sehingga cedera, yang mana tertuduh tahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah masjid di Simpang Empat, Labu Kubong, Chenderong Balai, kira-kira pukul 5.30 petang 23 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin membenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan kes itu disebut semula pada 29 Disember ini.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam M.Saravanan. 

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh mendakwa dia melanggar kenderaan polis secara tidak sengaja dan menganggap kejadian itu sebagai kemalangan tetapi anggota polis terlibat beranggapan tindakan itu sebagai mengancam nyawanya.

Tertuduh menyatakan anggota polis tersebut melepaskan tembakan mengenai bahu kanannya sehingga perlu mendapatkan rawatan lanjut.

Justeru, tertuduh memohon jaminan munasabah dikenakan terhadapnya kerana dia juga mempunyai kes yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas dakwaan kesalahan dadah. 

Pada 17 November lalu, Mohamad Hafiz bersama abangnya, Ahmad Fazrin, 31, dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas lima pertuduhan melakukan rompakan bersenjata sekitar Ipoh, bulan lalu.

Kedua-dua mereka yang juga anggota Geng Bulat mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan tersebut.

Pada tarikh sama, Mohamad Hafiz turut didakwa di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 34.87 gram di tepi jalan Rapat Baru di Ipoh pada pukul 4.45 petang, 23 Oktober 2023.

Dia juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas pertuduhan mencuri bekas berisi duit syiling dianggarkan bernilai RM500 dan mencuri tabung derma milik masjid dan madrasah.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah kedai di Laluan Rasi Jaya 4B, Taman Rasi Jaya pada pukul 4.28 petang, 17 Oktober 2023 dan di Jalan Merak, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, pada pukul 11.15 pagi, 14 September 2023 yang sabit kesalahan, Mohamad Hafiz boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun dan denda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya