Kelantan ubah suai KSAS hanya libatkan keluasan 514,898 hektar

Kelantan: Ubah suai KSAS hanya libatkan keluasan 514,898 hektar

MOHAMED Fadzli Hassan ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesahkan cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri hanya membabitkan keluasan sebanyak 514,898 hektar.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan tersebut sama sekali tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung.

“Kita (Kerajaan Negeri) masih lagi mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkan 514,898 hekar daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS.

“Untuk makluman, kawasan punca dan tadahan air seluas 114,982 hektar masih lagi kekalkan. Ianya, sama sekali tidak menjejaskan keluasan Taman Negara Kelantan memandangkan perkara tersebut telah diwartakan pada 1938,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri turut mengambil kira Hutan Taman Hidupan Liar yang berada di luar HSK seluas 80,377 hektar dan Hutan Tanah Kerajaan seluas 57,071 hektar bagi memastikan 50 peratus keluasan tanah berhutan tercapai.

Katanya, Kelantan merupakan antara tiga negeri tertinggi memiliki tanah berhutan di Semenanjung.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan amat komited untuk memastikan pengurusan kawasan berhutan dalam kawasan KSAS atau HSK memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan sebagaimana peraturan semasa.

“Bagaimanapun kita dapati ada deposit mineral yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat Kelantan dan sekiranya ia tidak menjejaskan kawasan hutan kenapa  tidak kita gunakan,”katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bercadang untuk menghentikan pembayaran Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kelantan jika cadangan pengubahan Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS oleh pihak kerajaan negeri diteruskan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan yang diperkenal pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Katanya, setakat ini lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kelantan dari 2019 hingga tahun ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN