Kelantan perkasa Program Tasawwur Islam lahirkan pegawai cekap, tinggi ilmu agama

Kelantan perkasa Program Tasawwur Islam lahirkan pegawai cekap, tinggi ilmu agama

MOHD. Nassuruddin Daud (dua kiri) menyampaikan Anugerah Gangsa Anugerah Integriti, Governance dan Anti Rasuah (AIGA) kepada Pejabat SUK Negeri Kelantan pada Majlis Perasmian Konvensyen Integriti Negeri Kelantan Tahun 2023 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan terus memperkasakan Program Tasawwur Islam menerusi kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam usaha melahirkan pegawai yang cekap dan mempunyai ilmu agama tinggi.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dapat dihayati serta diperluaskan.

“Saya berharap setiap pegawai dapat menyertai program ini sehingga memperoleh diploma. 

“Selain itu saya berharap Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan dapat menilai untuk membuka program Tasawwur Islam ini kepada pegawai-pegawai sama ada bertaraf lantikan tetap atau kontrak,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Integriti Negeri Kelantan Tahun 2023 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti memberitahu, hasrat melahirkan anggota perkhidmatan awam sifar integriti dan menghayati sepenuhnya budaya kerja cemerlang berasaskan penghayatan Islam dapat direalisasikan.

Katanya, beliau menyeru semua ketua-ketua jabatan negeri untuk memastikan budaya integriti dipertahankan bagi mengelak sebarang salah laku rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya menyeru kepada semua untuk melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh berintegriti bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya kumpulan sasar adalah yang terbaik.

“Jadikanlah frasa ‘saya yang menjalankan amanah’ sebagai amalan dan budaya bekerja kita dalam ertikata sebenar. Kita wajib berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih serta ikhlas,” ujarnya.

Mohd. Nassuruddin berkata, beliau yakin budaya memartabatkan integriti berupaya memacu Kelantan ke arah kecemerlangan serta pengukuhan dasar dengan pendekatan Merakyatkan MBI.

“Dalam apa juga tindakan yang melibatkan kewangan serta perbelanjaan kerajaan, prinsip ‘value for money’ hendaklah sentiasa dititikberatkan di samping keberhasilan atau impak positif bagi setial perbelanjaan.

“Setiap projek atau aktiviti hendaklah dirancang terlebih dahulu dan diuruskan secara efisien dalam usaha mengelakkan pembaziran,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN