Kelantan bangunkan e-Bencana salur maklumat tepat kepada rakyat

Kelantan bangunkan e-Bencana salur maklumat tepat kepada rakyat

MOHD. Nassuruddin Daud (dua kiri) menyerahkan sijil pelantikan kepada Rohani Ibrahim semasa Majlis Pelantikan Watikah Pakar Penasihat Wanita Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah membangunkan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) dengan menaiktaraf sistem e-Banjir bagi menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat berkait bencana yang melanda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, sistem yang melibatkan integrasi dengan kemudahan sedia ada sebelum ini itu merangkumi pelbagai modul termasuklah bantuan.

Menurutnya, pembangunan aplikasi itu mampu menjadikan pengurusan bencana lebih sistematik, mudah dan lebih tersusun.

“Pada masa sama ia mampu menjadi One-Stop System untuk pengurusan bencana di negeri ini. Untuk makluman, e-Bencana ini sudah dilancarkan secara rasmi pada 7 Februari lalu. 

“Sejajar dengan itu, empat siri taklimat dan bengkel pendaftaran penduduk dalam Sistem e-Bencana kepada Penggawa dan Penghulu di Jajahan Pasir Mas dan Tumpat bermula 24 Oktober hingga 9 November lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelantikan Watikah Pakar Penasihat Wanita Kelantan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Rohani memberitahu, sebanyak 160 pengkalan hadapan sudah bersiap-sedia untuk beroperasi sebaik sahaja berlaku banjir.

Katanya, sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana dan 108 pembekal pek makanan siap masak telah dilantik untuk semua jajahan sebagai persediaan menghadapi bencana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas itu berkata, sebanyak 19,537 buah aset seperti kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan lain sudah diperiksa bagi memastikan semuanya berada dalam keadan baik.

Katanya, pada masa sama program dan latihan kesiapsiagaan bencana juga telah diadakan oleh pelbagai agensi terlibat.

“Disamping itu kempen kepada rakyat turut giat dijalankan melalui papan iklan (billboard) elektronik, edaran risalah serta persiapan banjir dan pendaftaran e-Bencana serta solat hajat di masjid seluruh negeri.

“Bagi jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula, sebanyak 456 buah dengan jumlah kapasiti 191,169 orang sudah dikenalpasti dan bersedia untuk dibuka sekiranya berlaku bencana banjir,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya