KUANTAN: Bagi membantu pada guru memiliki emas idaman, Kedai Emas Ariffin menawarkan program pembelian emas secara ansuran kepada seluruh warga pendidik di negeri ini dan Terengganu.
Pengarah Urusannya, Rani Ismail berkata, program yang dilaksanakan bermula September lalu itu membabitkan kerjasama antara SAS Gold Empire, Koperasi Pendidikan Melayu Pahang Berhad (CO-DIDIK) dan Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (KOGURU).
Katanya, menerusi program itu, Kedai Emas Ariffin bertindak sebagai pembekal emas kepada guru yang berminat menyertainya dengan bayaran serendah RM100 sebulan.
“Program beli emas secara ansuran ini terbuka kepada semua warga pendidik di negeri ini dan Terengganu yang berusia 56 tahun ke bawah.
“Pembiayaan ditawarkan bermula RM6,000 hingga RM100,000. Tiada had dalam kuantiti barang kemas dan tempoh pembiayaan lima hingga 10 tahun,” katanya di sini semalam.
Rani berkata, sejak September lalu, seramai 30 guru di negeri ini dan Terengganu lulus menyertai program ini yang julung kali dilaksanakan membabitkan pembelian emas.
“Jumlah pembiayaan yang diluluskan berjumlah RM200,000, kita yakin ia akan terus meningkat kerana sambutan sejak program ini dilaksanakan begitu menggalakkan terutama di Terengganu,” katanya.
Mengulas lanjut, Rani berkata, sehingga kini, kira-kira 21 buah sekolah di negeri ini dan Terengganu sudah menyertai program terbabit.
“Kita akan terus memperluaskan program ini kerana sasaran kita guru di semua sekolah rendah dan menengah di Pahang dan Terengganu menyertai program ini dan dapat membeli emas idaman mereka.
“Buat masa ini kita memberikan fokus di Pahang dan Terengganu kerana dua negeri ini mempunyai cawangan Kedai Emas Ariffin,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, para guru tidak perlu bimbang menyertai program beli emas secara ansuran terbabit kerana ia patuh syariah.
“Untuk pembiayaan ini ia patuh syariah yang mana koperasi terlibat membayar penuh harga emas pada kita. Untuk ansuran bulanan, para guru akan bayar pada koperasi.
“Pembiayaan ini juga bertakaful, andai kata peminjam itu meningggal dunia tak perlu bayar, ia satu kelebihan kepada para guru,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, selain guru, program terbabit sedang dalam perancangan untuk diperluaskan kepada penjawat awam. – UTUSAN