TANAH MERAH: Karnival Sukan Pendidikan Khas Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menjadi platform mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah, Muhamad Saufi Ibrahim berkata, karnival selama dua hari itu melibatkan penyertaan seramai 350 pelajar pendidikan khas dari 18 buah sekolah menengah dan rendah di jajahan ini.
“Alhamdulillah, melalui karnival ini kita dapat melihat pelajar OKU ini mempunyai potensi besar dalam lapangan sukan jika digilap dengan sebaik mungkin.
“Saya yakin dan percaya, jika potensi itu terus dicungkil tidak mustahil mereka ini boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Karnival Sukan Pendidikan Khas Peringkat Daerah PPD Tanah Merah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Merbau di sini hari ini.
Karnival tersebut anjuran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Batang Merbau dan SK Tanah Merah 2 mendapat kerjasama Co-Opbank Pertama Cawangan Tanah Merah serta Lalang Resort & Spa.
Muhamad Saufi memberitahu, sepanjang dua hari itu futsal, pertandingan kolaj dan mewarna antara dianjurkan oleh pihaknya.
Katanya, bagi pertandingan futsal ini menjadi medan untuk memilih pemain ke peringkat daerah dan negeri seterusnya ke kebangsaan.
Sementara itu, Ketua Wilayah Co-Opbank Pertama Zon Timur , Amirul Ridzuan Abd Razak berkata, ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat bersama masyarakat.
“Ini sebagai Inisiatif tanggungjawab sosial korporat apabila menaja program ini untuk pembangunan modal insan pelajar pendidikan khas di Tanah Merah,” katanya.-UTUSAN