KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia satu tahun sebelah bulan menjadi korban pertama banjir di Kelantan selepas tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya di Kampung Kenali di sini, hari ini.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada pukul 1.40 tengah hari ini oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang menjalankan operasi tersebut.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kanak-kanak tersebut merupakan korban pertama banjir di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Pegawai Bomba Kanan, Muhammad Samsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.17 tengah hari tadi sebelum 16 orang anggota dari dua buah balai bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota bomba tiba di lokasi berkenaan pada pukul 12.39 tengah hari dan mendapati seorang kanak-kanak berusia setahun setengah lemas di sungai tersebut.
“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai bermain di belakang rumah sebelum tergelincir ke dalam sungai berhampiran.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat pukul 2.42 petang tadi.-UTUSAN