Kanak-kanak selamatkan keluarga terima Pingat Hang Tuah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak selamatkan keluarga terima Pingat Hang Tuah

ALTAMIS FAIZ SHAHRULLIZAM bersama bapa dan ibunya Ezrin Baharudin (kiri) dan Fazreen Ismail sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketenangan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mengawal emosi ketika kebakaran rumah berjaya membantunya menyelamatkan nyawa ahli keluarga yang lain.

Atas keberanian ditunjukkan Altamis Faiz Shahrullizam melayakkan anak kedua daripada lima beradik itu menerima Pingat Hang Tuah sempena Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2023, hari ini.

Wira cilik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor itu, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4 pagi, 4 September lalu di kediaman keluarganya di Bandar Sri Coalfields.

“Ketika kejadian itu, saya sedang tidur bersama-sama seorang adik lelaki, Aryan Adwa, 3, manakala ibu bapa serta tiga adik yang lain tidur di bilik berasingan. Saya terbangun sebelum terbau asap, saya terus ke bilik ibu ayah dan adik beradik yang lain untuk mengejutkan mereka agar bangun untuk selamatkan diri.

“Sebenarnya takut juga waktu itu, tetapi saya beranikan diri untuk kejutkan ahli keluarga yang lain,” katanya selepas menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Altamis Faiz turut berterima kasih dan mengakui satu episod rancangan kartun terkenal Upin Ipin yang mendidik kanak-kanak untuk bersikap tenang walaupun berdepan insiden kebakaran.

Sementara itu, ibunya, Fazreen Ismail, 39, memberitahu, anaknya telah mempelajari silat sejak berusia enam tahun dan percaya seni mempertahankan diri itu turut membantu memupuk sikap berani dalam dirinya.

“Dia bukan sahaja bertindak pantas dengan mengejutkan kami semua daripada tidur, malah juga sempat mencapai kunci rumah dan membawa anak bongsu kami yang berusia tahun tahun keluar bersama-sama.

“Selepas kami berjaya keluar dalam keadaan lampu rumah sudah padam dan keseluruhan ruang dipenuhi asap, dia turut mengejutkan jiran-jiran di rumah berhampiran, manakala suami dan anak sulung kami berusaha memadamkan kebakaran sebelum menunggu ketibaan bomba,” katanya.

Dia tetap bersyukur apabila semua ahli keluarga selamat dalam kebakaran berkenaan walaupun kediaman mereka musnah kira-kira 70 peratus.

Sementara itu, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian diberikan kepada Ahmad Mikhail Damsal Abdul Hakim, 14, manakala Anugerah Gemilang Sukan diraih  Emelda Camalia Abd. Razak,13, dan Anugerah Gemilang OKU kepada Nurr Arissa Irdiani Azizi, 13. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya