Jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan dikurangkan - Utusan Malaysia

Jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan dikurangkan

AMINUDDIN Harun (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 1,746 orang ketua isi rumah (KIR) daripada keseluruhan 3,530 orang telah berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut adalah sehingga 31 Oktober lalu dan ia berdasarkan statistik data eKasih seperti dilaporkan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan menambah, bagi baki jumlah ketua isi rumah yang masih dalam status miskin tegar tersebut, kerajaan negeri menerusi kerjasama jabatan dan agensi terlibat akan terus membantu bagi memastikan mereka dapat keluar daripada status berkenaan.

“Saya telah arahkan supaya pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan untuk adakan mesyuarat berkala mungkin seminggu sekali sehingga 31 Disember ini mengenainya.

“Alhamdulillah, kami telah dapat kerjasama daripada banyak agensi, saya mahu setiap agensi ini mempercepatkan proses mereka untuk bantu golongan ini dapat dikeluarkan daripada miskin tegar ia menerusi cara bantuan dan projek yang boleh tingkatkan pendapatan mereka.

“Kami telah dapat bantuan daripada pihak Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi seperti Risda dan Jabatan Pertanian dan banyak agensi lain yang boleh bantu, jika masih lagi ada masalah kita akan pastikan mereka akan dapat bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MTPNg di sini hari ini.

Mesyuarat yang bersidang pada hari ini itu merupakan mesyuarat yang pertama kali diadakan selepas parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 yang lalu.

Aminuddin dalam pada itu berkata, selaras dengan sasaran kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan menjelang hujung tahun ini, agenda berkaitan kesejahteraan rakyat turut dibincangkan secara tetap di dalam mesyuarat MTPNg.

“Ini bagi membolehkan kerajaan negeri memantau dengan teliti ke atas statistik kemiskinan di negeri ini dan seterusnya mengambil langkah-langkah terbaik untuk memastikan golongan miskin di negeri ini terus dibantu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan

“Kita cuba yang terbaik, kami dan akan dapat laporan daripada semasa ke semasa untuk pastikan miskin tegar di negeri ini dapat kita sifarkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya