KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bila-bila masa bermula sekarang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, persiapan itu turut merangkumi pengendalian pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang sudah berjalan ketika ini.
Menurutnya, pada masa mesyuarat berkait dengan perkara itu sudah diadakan dan JKM yakin akan memasuki musim banjir dalam keadaan bersiap siaga.
“Banjir adalah bencana yang berlaku saban tahun, cuma kerisauan kita adalah darjah keseriusan banjir. Pada kejadian lepas juga mangsa di Kelantan dan Terengganu pada hakikatnya memang tinggi.
“Di peringkat kementerian, persiapan sudah dibuat. Kita mempunyai depot penyimpanan barang bantuan di setiap negeri manakala daerah terlibat bencana mempunyai pangkalan hadapan yang telah disediakan dengan barangan bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan di Kampung Tapang, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Sepang itu menjelaskan, kerajaan telah menyediakan pangkalan hadapan di hampir semua jajahan di negeri ini manakala depot penyimpanan utama adalah di Pengkalan Chepa.
“Barangan bantuan juga sudah mula diagihkan ke setiap pangkalan hadapan untuk simpanan. Usaha ini sedang berjalan dari semasa ke semasa sebab kalau tunggu banjir kita pasti tidak akan sempat hantar bantuan ke pangkalan hadapan,” ujarnya.-UTUSAN