JDT hormati kemampuan Perak

JDT hormati kemampuan Perak

SAFIQ Rahim menjalani latihan bersama rakan sepasukan JDT, semalam menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak hari ini. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Berbekalkan kemenangan selesa 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama ke atas Perak FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat tidak akan berdepan tugas sukar untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menerima kunjungan lawan malam ini.

Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu menamatkan tempoh 90 permainan tanpa bolos bagi meneruskan misi mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Walaupun membawa bekalan selesa, Solari mengingatkan skuad Harimau Selatan agar tidak memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Yusri Che Lah yang menunjukkan perkembangan positif sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pemain perlu meneruskan rentak kemenangan selepas membenam Kelantan United FC 2-0 dalam saingan Liga Super ketika berdepan The Bos Gaurus.

“Kesemua pemain diingatkan supaya memberi tumpuan penuh ketika berdepan Perak agar hasrat untuk melangkah ke final dapat direalisasikan di hadapan penyokong sendiri.

“Walaupun sudah berada di kedudukan selesa, itu tidak menjadi alasan buat Harimau Selatan untuk menyimpan kuku, sebaliknya akan menyajikan aksi terbaik buat penyokong kuat di Stadium Sultan Ibrahim.

“Saya beri jaminan bahawa skuad JDT akan mempertaruhkan kesebelasan utama terbaik pada pertemuan ini seterusnya melangkah ke perlawanan akhir dengan keputusan yang memberangsangkan,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, JDT pulang dengan selesa apabila menang 4-1 dengan Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor masing-masing meledak satu gol.

Solari berkata, persiapan pasukan berada di tahap terbaik dengan kesemua pemain bersedia untuk diturunkan pada aksi separuh akhir menentang skuad The Bos Gaurus.

“Kami menganggap setiap perlawanan sama pentingnya ibarat aksi final dan ini membuatkan kesemua pemain bermotivasi tinggi untuk memberi yang terbaik di atas padang.

“Ini menjadi pasukan sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan terus berkembang pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN