JBPM ingatkan mangsa banjir ambil langkah awal untuk berpindah - Utusan Malaysia

JBPM ingatkan mangsa banjir ambil langkah awal untuk berpindah

ABDUL WAHAB Mat Yasin (tengah) menyempurnakan simbolik pelancaran Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ke JBPM Pahang, di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZANZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan penduduk yang sering menjadi mangsa banjir untuk sentiasa mengambil langkah awal jika diberikan arahan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, dengan keadaan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu, kemungkinan akan berlakunya banjir pada bila-bila masa sahaja.

Tambahan pula katanya, kini negara bakal berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula pada 11 November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

“Dengan keadaan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu ini akan menimbulkan kebimbangan sekiranya banjir berlaku pada waktu malam.

“Waktu malam operasi agak sukar dan menimbulkan bahaya kerana keadaan gelap yang menghadkan penglihatan dalam jarak jauh semasa meredah kawasan banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah ke JBPM Pahang di sini hari ini.

Tambah Abdul Wahab, beliau berharap JBPM dengan usahasama pihak pengurusan bencana di peringkat daerah dan negeri sudah memberikan penerangan dan nasihat kepada penduduk yang sering dilanda banjir supaya sentiasa bersiap sedia untuk berpindah.

“Ini termasuklah dari sudut penyedian dokumen penting serta perkara asas yang perlu dititikberatkan semasa berpindah.

“Sekiranya ada faktor-faktor lain terutamanya ahli keluarga yang melibatkan kanak-kanak, ibu mengandung serta yang berada dalam keadaan uzur sama ada serius atau tidak, mereka ini wajib berpindah awal mengikut setiap nasihat daripada agensi penyelamat terutama dari JBPM,” ujarnya.

Beliau berkata, kedegilan mangsa untuk berpindah menjadi antara cabaran utama setiap kali berlaku kejadian banjir setiap tahun justeru JBPM sentiasa akan berusaha untuk memujuk dan menjelaskan risiko sekiranya mangsa tidak mengikuti nasihat untuk berpindah.

“Saya berharap JBPM di seluruh negara khususnya di Pahang sudah melakukan persediaan awal dan telah mengenal pasti lokasi kerap berlaku banjir serta dapat bekerjasama dengan agensi lain di peringkat daerah mahupun negeri dalam memastikan masyarakat bersiap sedia bertindak lebih awal sekali gus memudahkan operasi pemindahan yang selamat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab memaklumkan sebanyak lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina di seluruh negara.

“Keseluruhan projek baru menelan peruntukan RM44.8 juta membabitkan BBP Johor Bahru Sentral (RM10 juta); BBP Taiping, Perak (RM10 juta); BBP Pulau Tioman, Pahang (RM8 juta), BBP Kuarters Sungai Asap, Sarawak (RM8.4 juta) dan BBP Kuarters Telupit, Sabah (RM8.4 juta),” katanya.

Bagi negeri Pahang pula, katanya pembinaan sebanyak empat balai iaitu BBP Pulau Tioman, BBP Gohtong Jaya, BBP Sungai Lembing dan BBP Benta sudah diluluskan menerusi Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya