Jalan Lama Gombak-Bentong, Jalan Pintasan Bukit Tinggi ditutup sehingga 1 Disember depan - Utusan Malaysia

Jalan Lama Gombak-Bentong, Jalan Pintasan Bukit Tinggi ditutup sehingga 1 Disember depan

JALAN Pintasan ke Bukit Tinggi di Bentong, Pahanh ditutup kepada semua kenderaan berikutan kerosakan struktur jalan kesan banjir kilat melanda kawasan berkenaan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jalan Persekutuan FT68 iaitu Jalan Lama Gombak-Bentong bagi Seksyen 43 ke 43.40 dan Jalan Pintasan Bukit Tinggi Seksyen 1.98 hingga 2.58 di sini ditutup kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 1 Disember ini ekoran kerosakan struktur jalan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong memaklumkan, penutupan jalan itu yang terletak berhampiran simpang tiga Janda Baik di sini bertujuan menjamin keselamatan pengguna.

Sehubungan itu, mereka yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju ke stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi.

Pengguna juga diminta mematuhi papan tanda disediakan dan boleh menghubungi pejabat JKR Bentong di talian 09-2224040 untuk pertanyaan.

Sementara itu, JKR Daerah Bentong mengesyorkan Jalan Tarikan Jeram Tengkek, Jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup sementara dan bantuan segera RM200,000 untuk mengatasi banjir kilat di Bukit Tinggi.

Jalan tersebut antara lokasi terlibat kejadian banjir puing yang berlaku selama tiga jam bermula 8 malam semalam yang menyebabkan berlaku aliran air membawa batu-batan dan enapan selain terdapat pokok tumbang.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, kejadian banjir di situ berlaku disebabkan hujan selama tiga jam dengan keadaan sederhana iaitu antara 23.5 dan 53.0 milimeter (mm) yang mengakibatkan beberapa rumah dan premis-premis perniagaan dinaiki air dengan purata kedalaman 0.3 hingga 0.6 meter sebelum surut pada 11.30 malam hari sama.

“Selain itu, banjir di lokasi berkenaan berpunca daripada kejadian kepala air yang membawa batu-batu dan enapan serta menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat menyebabkan aliran anak Sungai Tanglir melimpah ke jalan,” kata jabatan tersebut.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian menyeluruh bagi kerja mitigasi yang diperlukan khususnya di kawasan berisiko seperti di Bukit Tinggi dan Janda Baik, selain siasatan lanjut untuk melihat terdapat kejadian seperti penerokaan haram di situ.

“Dalam masa sama, kerja baik pulih segera cerun dan jalan serta kerja pembersihan dan mendalamkan sungai akan dilaksanakan JKR serta JPS buat sementara waktu sebelum pelan baik pulih jangka panjang dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya