Istiadat Bersiram berlangsung penuh tradisi - Utusan Malaysia

Istiadat Bersiram berlangsung penuh tradisi

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Aishah Rohani bersemayam di Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada bagi dilaksanakan istiadat bersiram bersempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli Tahun 2023 di Seri Menanti, Kuala Pilah.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Istiadat Bersiram bersempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli Tahun 2023 berlangsung penuh keunikan di Istana Besar Seri Menanti di sini pagi tadi.

Acara bermula dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersemayam di Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada yang berada di kawasan luar istana sambil disusuli lapan das tembakan meriam turut dilepaskan.

Baginda berdua diiringi oleh Putera Yang Empat, Anak Raja Bergelar, kerabat Raja, Datuk-Datuk Adat Istana, Orang Empat Istana, dan Pegawai 99 yang membawa alat-alat kebesaran diraja bersama Cepu Bedak Limau yang dibawa oleh Datuk Raja Penghulu serta kumpulan Rebana sambil berselawat.

Sambil disaksikan oleh tetamu-tetamu kehormat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang ramai, Istiadat Bersiram di Panca Persada dimulakan dengan Orang Empat Istana mengadap Tuanku Muhriz bagi memohon limpah perkenan istiadat seterusnya bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin.

Istiadat kemudian disempurnakan apabila Orang Empat Istana menyembahkan Cepu Bedak Limau kemudiannya Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani seterusnya mencelupkan kedua belah tangan baginda ke dalam Cepu Bedak Limau berkenaan yang merupakan simbolik bagi membersihkan diri dan dari segi bersih jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap. 

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Aishah Rohani menyempurnakan Istiadat Bersiram di Panca Persada dengan simbolik membersihkan diri selepas mencelupkan kedua belah tangan baginda dalam Cepu Bedak Limau bersempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli Tahun 2023 di Seri Menanti, Kuala Pilah.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Selesai upacara itu, diadakan persembahan pencak silat, tarian piring dan baginda berdua kemudian bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti disusuli lapan das tembakan meriam lagi yang menandakan Istiadat Bersiram sempurna dijalankan.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli merupakan majlis melafazkan ikrar dan sembah taat setia oleh Datuk-datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Gunung Pasir, Luak Ineh dan Luak Terachi terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat berkenaan pertama kali diadakan pada 29 April 1898 semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan agar diadakan setiap tiga tahun. Kali terakhir istiadat ini diadakan adalah pada tahun 2019.

Pada tahun ini, istiadat berkenaan telah bermula sejak semalam apabila alat-alat kebesaran Diraja dipasang di kawasan halaman istana setelah diperiksa oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh letupan meriam sebanyak tiga kali.

Selepas berlangsungnya Istiadat Bersiram hari ini, acara kemuncak istiadat akan berlangsung esok di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di mana kesemua penghulu luak akan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan akan menjunjung duli, merafak sembah serta melafazkan ikrar taat setia.

Sementara itu, Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin ketika ditemui pemberita memberitahu, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli yang dijalankan bukan hanya menggambarkan kekayaan budaya masyarakat Adat Perpatih di negeri ini, bahkan menjadi tarikan buat masyarakat luar untuk mengenali keunikan Negeri Sembilan.

“Istiadat Bersiram yang berlangsung hari ini sangat istimewa kerana hanya tiga kali sahaja berlaku iaitu semasa pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, semasa Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga anak Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin,” katanya.

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Nur Aryuni Allysha Hasnan, 22, pula berkata, dia sememangnya tidak sabar menunggu upacara berkenaan dilangsunkan kerana ia tidak terdapat di negeri-negeri lain.

“Upacara seperti ini sangat menarik untuk dipelajari. Bapa saya yang merupakan seroang buapak juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk hadir dalam majlis adat bagi memastikan adat seperti ini tak lapuk ditelan zaman,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya