IPTA tidak perlu taksub kejar ranking- KPT

IPTA tidak perlu taksub kejar ranking- KPT

MOHAMAED Khaled Nordin semasa berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak terlalu taksub dalam mengejar kedudukan atau ranking universiti terbaik peringkat antarabangsa.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketaksuban itu dilihat boleh menimbulkan persaingan sehingga menyebabkan masing-masing tidak mahu berkongsi kepakaran serta penemuan baharu.

Menurutnya, penentuan kedudukan sesebuah IPTA tidak dijadikan sebagai ukuran memandangkan semua universiti diwujudkan dengan tujuan dan matlamat yang berbeza.

“Kita (IPTA) tidak perlu beri penekanan kepada ranking (kedudukan) dan tidak perlu taksub sebab kita ingat sudah ada banyak kenyataan dan penulisan mengenai ranking dan banyak juga badan-badan antarabangsa yang melahirkan kebimbangan supaya kita tidak terima ranking ini bulat-bulat.

“Ia (kedudukan) tidak boleh mengukur secara umum semua universiti kerana setiap universiti diwujudkan untuk tujuan dan matlamat berbeza kerana ukuran yang digunakan antaranya ada yang lebih sesuai untuk negara maju. Ada (kedudukan) tidak sesuai untuk IPTA di banyak negara lain,”katanya pada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled memberitahu, ranking hanya boleh digunakan untuk lihat dimana kedudukan dan bukannya dijadikan sebagai asas sebuah universiti itu baik, cemerlang atau tidak.

Kataya, antara aspek utama yang ditekankan dalam sistem pendidikan tinggi adalah kerjasama bersepadu dalam perkongsian sumber dan kepakaran serta bergerak secara strategik bagi membangunkan kepakaran yang ada.

Media sebelum ini melaporkan, semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar ranking QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa kerana pendekatan itu tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap penanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Dalam perkembangan Mohamed Khaled berkata, hospital pengajar adalah sesuatu elemen penting dalam sistem pendidikan tinggi negara terutamanya membabitkan IPTA yang terlibat dalam bidang perubatan.

“Setakat ini, sebanyak lapan universiti sudah mempunyai hospital pengajarnya termasuk HUSM antara yang terawal. Menerusi hospital pengajar, kita menekankan tiga aspek iaitu menyediakan rawatan, penyelidikan serta kajian,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN