Inspektor polis lepas, bebas tuduhan ambil dadah - Utusan Malaysia

Inspektor polis lepas, bebas tuduhan ambil dadah

ROSLAN Sam (dua dari kiri) selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lalu.

Majistret, Mohd. Firdaus Saleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Inspektor Roslan Sam, 43.

Mohd. Firdaus dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti fakta kes, exhibit, saksi pembelaan, hujahan-hujahan yang difailkan dan mahkamah menilai semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan.

Sebaik mendengar keputusan mahkamah berkenaan, Roslan yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan itu menarik nafas lega.

“Terima kasih tuan (Majistret),” kata Roslan ringkas.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan pembelaan sepanjang perbicaraan dikendalikan sejak dia dituduh kali pertama pada bulan Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa telah mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis Ketamin, Emphatamin, Methamphetamin, Methylenedioxy–Emphatamin dan Methylenedioxy Methamphetamin.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini pada 27 September 2020.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala pihak pembelaan diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Sementara itu, Haresh yang ditemui pemberita selepas keputusan tersebut berkata, dalam hujahan pembelaan berjaya membuktikan pegawai polis berkenaan tidak mengetahui air yang dihidangkan kepadanya serta tetamu yang lain semasa sedang menjalankan tugas risikan di sebuah tempat hiburan mengandungi dadah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN