Inkues Baby Syifaa: Saksi tambahan pakar forensik Bukit Aman akan dipanggil tahun depan - Utusan Malaysia

Inkues Baby Syifaa: Saksi tambahan pakar forensik Bukit Aman akan dipanggil tahun depan

YUSERI Yusoff (kanan) dan isterinya Anida Idrus (tengah) berbincang dengan peguam, Gaithri Thomas pada prosiding inkues Baby Syifaa di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban hari ini memaklumkan bahawa peguam keluarga Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri belum mengemukakan saksi tambahan untuk memberi keterangan seperti yang dimaklumkan pada prosiding inkues 15 September lalu.

Enam saksi itu termasuk bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan, bekas Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dan Pakar Forensik dari Thailand, Dr Khun Ying Porntip Rojanasunan.

Bapa Baby Syifaa, Yuseri Yusoff ketika memberi keterangan berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu memandangkan peguam Hafiz Norkhan sebelum ini memaklumkan telah memfailkan permohonan saksi baharu.

Bagaimanapun, pada prosiding hari ini Hafiz tidak hadir selepas menarik diri sebagai peguam yang mewakili keluarga Baby Syifaa menerusi kenyataan rasmi pada 2 November lalu dan mereka hanya diwakili peguam, Gaithri Thomas.

Pegawai Pengendali Inkues, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, Amidon adalah saksi yang dipohon oleh pihak pendakwaan, namun beliau tidak dapat hadir memberi keterangan dalam masa terdekat kerana mempunyai masalah kesihatan.

“Berdasarkan perbualan di WhatsApp, Amidon memaklumkan tidak boleh berjalan jauh selepas menjalani pembedahan bypass (pintasan jantung) pada 2021.

“Beliau juga dinasihatkan tidak memandu jauh dan menerima apa-apa tekanan memandangkan keadaan kesihatannya,” katanya.

Selain itu, Nor Azizah memaklumkan seorang lagi saksi awam yang merupakan jiran berdekatan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Baru Sendayan iaitu lokasi Baby Syifaa ditemui meninggal dunia merupakan saksi material.

“Rakaman perbualan saksi awam ini telah dirakam dalam audio dan pengesahan daripada saksi ini sendiri diperlukan mahkamah.

“Difahamkan beliau tidak dapat hadir hari ini kerana telah berpindah ke Johor dan perlu menguruskan pengangkutan sebelum datang ke sini,” katanya.

Terdahulu, dalam mahkamah pihak peguam keluarga telah memainkan audio rakaman perbualan saksi awam itu bersama Yuseri dan Hafiz selama lebih satu jam.

Koroner, Datin Surita Budin kemudian memutuskan supaya prosiding inkues berkenaan bersambung pada 18 dan 23 Januari tahun depan bagi membolehkan saksi tambahan Amidon serta saksi awam itu hadir memberi keterangan di mahkamah bagi menentukan punca kematian Baby Syifaa.

Sehingga kini, seramai 25 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN