Ibu tunggal 'disambut' banjir, peralatan rumah rosak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal ‘disambut’ banjir, peralatan rumah rosak

SEORANG penduduk Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang membersihkan halaman rumah yang diselaputi lumpur akibat banjir kilat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Impian seorang ibu tunggal memulakan hidup baharu dengan berpindah ke Kampung Sentosa Damai, di sini ‘disambut’ dengan dugaan apabila rumah sewanya dilanda banjir kilat, petang semalam.

Lebih menyedihkan apabila mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Elin, 40, tidak sempat menyelamatkan perabot dan perkakas rumah apabila air naik dengan pantas.

“Air banjir naik dalam masa singkat sehingga hampir setengah meter, saya tidak sempat untuk alihkan perabot dan perkakas rumah dan diarahkan berpindah segera ke surau kampung berdekatan pada pukul 8 malam tadi.

“Setelah air surut pagi ini, saya lihat rumah diselaputi tanah dan lumpur, barangan elektrik semua rosak dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Al-Muazakkir Kampung Sentosa Damai, di sini hari ini.

Elin menetap di kampung itu bersama anak lelakinya berusia enam tahun sejak dua bulan lalu.

Sebanyak 10 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dari kampung itu dipindahkan ke surau yang dijadikan PPS selepas banjir kilat melanda penempatan yang berdekatan sungai itu.

Elin yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kota Masai terpaksa bercuti untuk beberapa hari bagi membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur.

Sementara itu, Ahmad Abdul Hamid, 48, pula berkata, sungai dan parit terlalu kecil menjadi punca banjir setelah tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak apabila hujan lebat.

“Kejadian ini bukan kali pertama melanda kawasan ini pada tahun ini, sudah tiga kali berlaku. Ini diburukkan lagi dengan tembok parit yang rendah dan apabila air terlalu banyak akan melimpah ke pekarangan rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Razak Abdul Hamid, 47, lega apabila sempat mengalihkan kereta dan motosikalnya ke kawasan lebih tinggi.

“Barang dalam rumah juga selamat kerana di tempat tinggi. Apabila air surut, kami sekeluarga membersihkan lumpur dalam rumah dahulu sebelum membersihkan persekitaran rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya