Hukuman penjara selama 13 bulan ke atas Ustaz Budak kekal

Hukuman penjara selama 13 bulan ke atas Ustaz Budak kekal

SYAMSUL Zaman Sukri (depan) semasa hadir ke prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara selama 13 bulan ke atas Syamsul Zaman Sukri, 35, atau ‘Ustaz Budak’ yang merupakan seorang pendakwah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang ahli perniagaan lelaki, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ustaz Budak yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh itu di Mahkamah Majistret di sini pada 9 Mac lalu.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, pihak mahkamah menolak tujuh perkara yang dibangkitkan oleh Syamsul Zaman yang merupakan perayu dalam kes tersebut.

Menurutnya, perayu mendakwa keterangan mangsa tidak boleh dipercayai, namun Syamsul Zaman tidak mempunyai bukti kukuh untuk menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

“Perayu juga gagal menimbulkan men srea (niat jahat) dalam kes ini, tetapi alasan penghakiman Mahkamah Majistret termasuk nota keterangan menunjukkan bahawa ada tindakan dan niat perayu terhadap mangsa.

“Justeru, Mahkamah Tinggi berpendapat hukuman yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret adalah tepat dan memadai,” katanya.

Mohamad Abazafree memberitahu, sehubungan itu Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 13 bulan yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang pendakwah yang dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang ahli perniagaan lelaki, dua tahun lalu. 

Majistret Mohd. Izdham Naim  Che Ani memutuskan perkara itu terhadap tertuduh Syamsul Zaman Sukri, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.

Mohd. Izdham berkata, pihak pendakwaan sebelum ini telah memanggil lima saksi malah mahkamah turut meneliti keterangan dan hujahan saksi.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi Syamsul Zaman untuk membela diri pada 25 Januari 2023. 

Tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding itu nanti.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang lelaki berusia 30 tahun.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mahkamah sebelum ini membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN