Harimau muncul lagi di Gua Musang

Harimau muncul lagi di Gua Musang

PENDUDUK Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera gempar apabila menjumpai tapak harimau lebih besar daripada tapak tangan manusia di kawasan jalan ladang kelapa sawit Chin Teck, Gua Musang, Kelantan-AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk yang tinggal di Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di sini hidup dalam kebimbangan selepas menemui kesan tapak kaki harimau sebesar tapak tangan di kawasan ladang kelapa sawit Chin Teck di sini semalam.

Penemuan tapak kaki haiwan liar di lokasi yang terletak lebih 10 kilometer (km) dari bandar Gua Musang itu dijumpai selepas empat hari kesan sama ditemui di Kampung Seberang Lembaga di sini pada Selasa minggu lalu.

Berdasarkan pengiraan, jarak penemuan tapak kaki harimau di kedua-dua lokasi itu dianggarkan sejauh lebih 20 km.

Seorang penternak lembu, Mohd. Nordin Hashim, 39, berkata, dia menjumpai beberapa kesan tapak kaki harimau di kawasan lopak air di ladang kelapa sawit Chin Teck kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Katanya, situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan lebih 1,000 penduduk dan pekerja ladang di kawasan terbabit.

“Ada penduduk yang melihat kelibat harimau itu berhampiran kawasan ini kira-kira tiga hari lalu.

“Lokasi penemuan tapak harimau terbabit hanya sejauh 200 meter dari kawasan perumahan penduduk. Selain bimbang dengan keselamatan diri, kami juga takut ternakan seperti lembu dan kambing akan menjadi mangsa haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang suri rumah, Zamrah Che Omar, 54, berkata, penemuan kesan tapak kaki harimau itu mengejutkan penduduk di kawasan PPMS Kesedar Sejahtera.

Katanya, mereka kini lebih berjaga-jaga dan mengawal pergerakan ahli keluarga sekiranya keluar rumah pada waktu malam.

“Meskipun kesan tapak kaki harimau itu dijumpai di kawasan ladang, namun lokasinya sangat dekat dengan perumahan penduduk.

“Kami bimbang kejadian serangan yang meragut nyawa berlaku di Kampung Meranto baru-baru ini akan terjadi kepada penduduk di kawasan ini pula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, beliau menerima makluman berkaitan penemuan tapak kaki harimau melalui perkongsian aplikasi WhatsApp daripada penduduk.

Justeri, beliau berharap penduduk berhati-hati dan tidak berseorangan ketika melalui jalan ladang atau menguruskan haiwan ternakan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 800 penduduk Kampung Seberang Lembaga di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini gempar selepas menemui kesan tapak kaki harimau belang berhampiran rumah penduduk, pada Selasa lalu.

Penghulu Mukim RPT Kesedar Sungai Terah, Nordin Mat Yusoff, 48, berkata, penduduk kini hidup dalam ketakutan susulan penemuan tapak kaki pak belang sebesar tapak tangan manusia.

Pada Isnin lalu, seorang pemuda lari lintang-pukang selepas motosikal jenis Honda C70 yang dia tunggang dirempuh seekor harimau belang yang tiba-tiba keluar dari hutan dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Jeli di sini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya