Harimau Malaya pilih Bukit Jalil kelayakan Piala Dunia

Harimau Malaya pilih Bukit Jalil kelayakan Piala Dunia

STADIUM Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang skuad Harimau Malaya menentang Oman dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pada Mac depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya tetap akan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue aksi pertama kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini.

Keputusan itu dibuat selepas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersama barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) meninjau keadaan padang yang dilihat semakin baik semalam.

Pan Gon berkata, biarpun tidak 100 peratus berada dalam keadaan sempurna, namun baginya padang itu tetap masih boleh digunakan berdepan lawan di ranking ke-97 dunia itu.

“Dari segi teknikal, keadaan padang di SNBJ pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Lagipun, untuk aksi bertemu Kyrgyzstan hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November.

“Jadi harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga menyeru para penyokong Harimau Malaya datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Sebelum ini, padang SNBJ yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia dikritik hebat selepas dilihat mudah terkopak semasa saingan Pestabola Merdeka pada bulan lalu, ia bukan sahaja merencatkan corak permainan tetapi mengundang risiko kecederaan.

Keadaan pada SNBJ ketika itu juga turut mengundang reaksi pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tampil menawarkan kepada skuad Harimau Malaya untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI)

Selain itu kata Pan Gon, SNBJ adalah ‘Rumah’ Harimau Malaya dan para penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium tersebut selain ia juga merupakan kubu kuat pasukan kebangsaan.

“Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di SNBJ.

“Selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan SNBJ ini terletak di Lembah Klang, sekali gus lebih ramai yang boleh hadir, ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan Harimau Malaya sendiri berbanding jika aksi di gelanggang sendiri ini dilangsungkan di luar Lembah Klang,” katanya.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan dengan juara dan naib juara terbaik akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan mara automatik ke Piala Asia 2027, manakala pasukan tangga ketiga dan keempat bakal mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN