PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong dalam laluan terbaik untuk mengumpul koleksi kejuaraan yang kelima dalam karier apabila bakal berentap dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini.
Beregu no. 49 dunia itu berjaya menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-15 dalam aksi separuh akhir semalam dan akan membuat perhitungan dengan wakil Taiwan, Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa di final.
Ia bakal menjadi pentas final Jelajah Dunia BWF yang pertama buat Hang Yee-Ng Cheong sejak beralih menjadi pasangan profesional pada Disember tahun lalu.
Dalam tempoh 11 bulan ini, mereka sudah pun merangkul empat kejuaraan antaranya Terbuka Ukraine pada tahun lalu, disusuli tiga lagi gelaran iaitu Terbuka Slovenia, Terbuka Austria serta Siri Antarabangsa Mongolia.
“Sebenarnya kami langsung tidak berfikir panjang tentang apa yang terjadi, sama ada kami ketinggalan atau sebaliknya kerana tumpuan kami adalah meneruskan perlawanan dengan aksi yang terbaik.
“Kini kami telah mencapai sasaran yang kami tetapkan, iaitu mara ke final, jadi kami akan membuat persiapan rapi untuk mengakhirinya dengan keputusan yang baik,” jelas Hang Yee.
Sekiranya mereka berjaya bergelar juara pada hari ini, Hang Yee dan Ng Cheong berpeluang untuk meraih hadiah wang tunai AS$7,900 (RM 37363), sementara naib juara akan meraih AS$3,800 (RM 17972).
“Untuk pemain profesional seperti kami, wang kemenangan sebesar itu sangat lumayan dan boleh membantu banyak perkara dalam menguruskan kelangsungan karier kami seperti program latihan dan menyertai lebih banyak kejohanan di luar negara,” tambah Eng Cheong. – UTUSAN