Hampir semua premis perniagaan di Nilai 3 ada lesen perniagaan - Utusan Malaysia

Hampir semua premis perniagaan di Nilai 3 ada lesen perniagaan

MASRI Razali (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil syarikat yang mengambil bahagian dalam Hari Bertemu Pelanggan MBS di Nilai dekat Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai dekat sini yang popular sebagai lokasi beli-belah akan terus beroperasi seperti lazimnya selepas berakhirya operasi bersepadu agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Negeri Sembilan atau Op Sabong bulan lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh MBS di premis dekat Nilai 3 mendapati hampir kesemuanya mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Katanya, oleh itu, isu perniagaan di Nilai 3 dimiliki oleh warga negara asing tidak berbangkit dalam operasi tersebut.

“MBS hanya mengambil tindakan sita selepas pemeriksaan mendapati warga negara asing menjalankan operasi perniagaan namun tiada warga negara tempatan di premis yang berkenaan.

“Tindakan sita disusuli dengan rampasan barang-barang perniagaan,” katanya ketika ditemui pada program Hari Bertemu Pelanggan MBS di Nilai dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil Op Sabong selama enam hari mulai 24 Oktober lalu melibatkan seramai 350 pegawai dan anggota daripada 10 jabatan atau agensi keselamatan dan penguatkuasa di negeri ini termasuk MBS.

Sehingga 28 Oktober lalu, operasi itu telah melaksanakan 17 operasi bersepadu dengan lebih 1,000 warga asing diperiksa dan 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah pelbagai undang-undang negara.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan operasi itu ialah Nilai 3 yang menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara datang membeli belah.

Masri menarik perhatian, sebagai PBT, MBS memberi tumpuan kepada isu berkaitan lesen perniagaan premis di Nilai 3 yang mempunyai syarat-syarat tertentu.

“Selain kesalahan meletakkan warga asing sebagai pengendali kedai, MBS juga mengenakan tindakan kompaun kepada premis yang meletakkan barangan di kaki lima yang menghalang laluan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sejak Januari lalu, sebanyak 29 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh MBS di Nilai 3.

Namun, katanya, Op Sabong telah memberi impak yang lebih baik kerana pemeriksaan boleh dibuat secara menyeluruh oleh semua jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya