Guru rugi RM362,399 terpedaya wakil pos laju, polis palsu - Utusan Malaysia

Guru rugi RM362,399 terpedaya wakil pos laju, polis palsu

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru terpaksa berputih mata kerugian RM362,399 gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan yang didalangi individu menyamar sebagai wakil pos laju dan pegawai polis palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 34 tahun dan menetap di Cameron Highlands, dekat sini terpedaya melalui panggilan telefon dibuat suspek mengatakan terdapat satu bungkusan mencurigakan yang dihantar atas namanya.

“Berdasarkan siasatan awal, dalam kejadian yang berlaku sekitar Oktober lalu, melalui satu panggilan telefon suspek memberitahu mangsa bahawa dokumen tersebut terdiri daripada dokumen penting seperti Mykad, kad kredit dan buku cek bank CIMB.

“Menurut suspek bungkusan tersebut ditahan oleh pihak Pos Laju dan kemudiannya talian mangsa turut disambungkan kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Bukit Aman.

“Susulan itu juga mangsa kononnya disyaki terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mangsa diberitahu akan dibantu dalam rayuan kes namun terlebih dahulu diarahkan membuat pindahan wang bagi tujuan siasatan.

“Tidak terhenti setakat itu, mangsa diminta membuat pinjaman di Bank Rakyat dan maklumat perbankan perlu diserah bagi tujuan siasatan.

“Mangsa diarahkan lagi membuat pindahan wang simpanan lain secara berperingkat ke akaun suspek bagi bayaran mahkamah, Bank Negara Malaysia dan audit hinggakan jumlah wang dipindahkan dianggarkan berjumlah RM362,399,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, mangsa kemudiannya gagal menghubungi suspek untuk mendapatkan pengesahan lanjut.

Tambahnya, mangsa segera membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya