KUANTAN: Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) Pahang menyeru seluruh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan agensi kerajaan menyatakan sokongan secara terbuka terhadap pembebasan rakyat Palestin dari kekejaman rejim Zionis.
Ketua Pengarah Operasi GSPP Pahang, Mohd. Zolhelmi Md Zuki berkata, pihaknya turut menuntut agar kerajaan negeri membantu menyalurkan memorandum sembilan tuntutan GSPP terhadap kerajaan Persekutuan berkaitan gerakan pembebasan Palestin.
Katanya, memorandum terbabit diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.
Tambahnya, sembilan tuntutan GSPP itu antaranya termasuklah menuntut agar kerajaan meneruskan dasar tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel.
“Dalam tuntutan terbabit juga, GSPP turut menuntut kerajaan supaya tidak memenuhi apa-apa tuntutan bagi menormalisasi sebarang bentuk hubungan dengan Israel selain menyeru kerajaan tidak mengiktiraf penyelesaian ‘Two State Solution’ dan mengembalikan peta Palestin yang asal sebelum Deklarasi Balfour 1917.
“GSPP turut menuntut kerajaan tidak sesekali memihak kepada blok Barat yang menyokong pembunuhan beramai-ramai selain bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan blok pro-Israel yang cuba menghalang apa jua bentuk penzahiran solidariti kerajaan dan rakyat Malaysia kepada isu perjuangan pembebasan Palestin,” katanya di sini hari ini.
Menerusi memorandum itu juga kata Zolhelmi, GSPP turut menuntut kerajaan supaya segala sumbangan disampaikan secara telus kepada rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza bukan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mempunyai persepakatan dengan Israel.
“Kita turut menuntut kerajaan supaya melobi dan mempengaruhi pendirian negara Islam dan badan antarabangsa berkaitan isu Palestin dengan memastikan sebarang rundingan atau persetujuan masa hadapan mestilah melibatkan gerakan pembebasan Palestin, bukan badan yang tidak mewakili majoriti rakyat Palestin,” ujarnya. – UTUSAN