SEPANG: Cabaran cuaca akan menjadikan buruan kejuaraan motosikal dunia Grand Prix Malaysia 2023 lebih sengit apabila hujan diramal pada hari perlumbaan.
Litar Antarabangsa Petronas Sepang akan menjadi pusingan paling mencabar bagi semua kelas perlumbaan terutama Moto2 yang menjadi penentu gelaran dunia musim ini.
Jika berhajat untuk merangkul gelaran lebih awal, pelumba Sepanyol, Pedro Acosta dari pasukan Red Bull KTM Ajo perlu mengharungi halangan cuaca yang tidak menentu di Malaysia.
Dengan rekod kemenangannya lebih berpihak ketika beraksi di litar kering, kemampuan Acosta yang perlu melengkapkan aksi dalam kelompok empat terbaik di Sepang menjadi tanda tanya.
Kedudukan pelumba muda berusia 19 tahun itu hampir tidak mampu digugat dengan pencabar terdekat penunggang Itali, Tony Arbolina keciciran 63 mata di belakangnya dan dia kini hanya perlu ‘berperang’ dengan dirinya dan cuaca mencabar di Sepang.
Bagi saingan MotoGP dan Moto3, perebutan gelaran masih terbuka dengan aksi kelas utama itu dengan pelumba Itali, Francesco Bagnaia berada di kedudukan teratas setelah mengumpul 389 mata.
Dia diekori rapat Jorge Martin dari Sepanyol (376 mata) dan Marco Bezzecchi (310 mata) serta Brad Binder (249 mata).
Bagi kelas Moto3, Jaume Masia dari Sepanyol mengetuai senarai pelumba dengan 230 mata dan di tangga kedua dihuni oleh pelumba Jepun, Ayumu Sasaki (213 mata), sementara, di tempat ketiga serta keempat menjadi milik David Alonso dari Colombia (205 mata) dan penunggang Sepanyol, Daniel Holgado (205 mata). – UTUSAN