Gara-gara pasir atas jalan, tiga kemalangan berlaku dalam tempoh lapan jam - Utusan Malaysia

Gara-gara pasir atas jalan, tiga kemalangan berlaku dalam tempoh lapan jam

ANGGOTA bomba membantu mangsa yang terbabit kemalangan selepas kereta yang dipandu terbabas dalam kejadian di Kilometer 9, Jalan Tampin-Gemas berhampiran selekoh Kampung Keru, Tampin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tiga kejadian kenderaan terbabas berlaku di Kampung Keru, Jalan Tampin-Gemas kurang lapan jam sejak tengah malam tadi dipercayai gara-gara terdapat longgokan pasir di atas jalan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd. Azlin Nawawi, 48, berkata, ketika kejadian kedua berlaku kira-kira 7 pagi tadi, dia berada di bahu jalan dan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah yang terletak berhampiran. 

Menurutnya, sebelum berlakunya kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia tersebut, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut terbabas di lokasi sama pada waktu tengah malam malah merempuh sebuah salon akibat terlanggar lopak air.

“Bukanlah perkara baharu kemalangan di sini berlaku disebabkan ‘lintasan air’ yang kemudian meninggalkan pasir di atas jalan. Ia sudah lebih tiga tahun berlaku sejak ada kebun dibuka di kawasan yang lebih tinggi terletak di sebelah jalan.

“Sudah banyak kali aduan dibuat namun kali ini saya harap tindakan segera dapat diambil sebelum kejadian lebih buruk berlaku kerana ia telah melibatkan premis penduduk yang dirempuh kenderaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dari pukul 12.20 tengah malam sehingga 8 pagi tadi terdapat tiga kemalangan berasingan di lokasi yang sama berlaku iaitu di Kilometer 9, Jalan Tampin-Gemas berhampiran selekoh Kampung Keru.

“Hasil siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku disebabkan pasir yang berada di atas jalan selepas waktu hujan yang menyebabkan ketiga-tiga kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas melanggar harta benda awam.

“Salah satu kemalangan di lokasi tersebut adalah melibatkan sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang anggota tentera dan telah hilang kawalan dan melanggar sebuah kedai dandanan rambut dan spa manakala dua kenderaan lagi gagal mengawal kenderaan akibat pasir di selekoh tersebut dan masing masing telah melanggar tiang milik Telekom Malaysia (TM) dan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi kemalangan adalah selekoh dan jalan basah selepas hujan dan terdapat pasir di atas jalan yang menyebabkan kemalangan.

“Akibat kemalangan itu juga menyebabkan pemandu kenderaan mengalami kecederaan ringan di muka dan kepala dalam kemalangan pada pukul 12.20 tengah malam, 7.05 pagi dan 7.10 pagi.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan.

Sementara itu, seorang peniaga kedai dandanan rambut dan andaman rugi lebih RM20,000 apabila premis kedainya di kampung berkenaan dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam kejadian tengah malam tadi itu.

Peniaga berkenaan, Maszulaila Md Saoh, 37, berkata, kejadian kemalangan itu disedari adiknya apabila terdengar bunyi dentuman kenderaan.

“Habis semua barang-barang perniagaan rosak, sudah lapan tahun saya berniaga di sini namun ini kejadian kali pertama sehingga merempuh premis, sebelum kejadian kereta terbabas hanya berlaku di jalan,” katanya yang berharap agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah tersebut dengan segera.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya