Empat projek sakit libatkan tiga kementerian di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Empat projek sakit libatkan tiga kementerian di Negeri Sembilan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat sebanyak empat projek pembangunan fizikal di Negeri Sembilan yang melibatkan projek di bawah tiga buah kementerian telah dikenal pasti berada di dalam kategori projek lewat jadual ataupun projek sakit.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut adalah sehingga 31 Oktober lalu seperti yang dilaporkan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.

Katanya, empat projek berkenaan berkenaan adalah melibatkan projek meroboh dan membina Klinik Kesihatan Jenis 2, Tampin; projek pembinaan Pusat Pakar Pergigian Seremban; pembinaan Kompleks Sukan Gemas di Tampin dan projek menaik taraf Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah.

Beliau memberitahu, projek-projek berkenaan dikategorikan sebagai sakit antaranya berpunca masalah dihadapi oleh kontraktor seperti masalah pekerja, kewangan dan kegagalan mematuhi program dan jadual kerja dirancang.

“Mesyuarat telah mengarahkan agensi-agensi pelaksana yang terlibat untuk terus memantau secara rapi kemajuan projek-projek tersebut dengan mengambil tindakan ke atas pelan pemulihan yang telah ditetapkan.

“Sekiranya pihak kontraktor masih gagal memperbaiki prestasi, tindakan penamatan kontrak perlu dilaksanakan dan seterusnya melantik kontraktor penyelamat dengan kadar segera bagi menyiapkan projek,” katanya.

Aminuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan, secara keseluruhannya, dari 1 Januari 2023 sehingga 31 Oktober yang lalu, sebanyak 15 projek pembangunan fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Negeri Sembilan telah dikenal pasti sebagai projek sakit.

“Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, 11 projek telah pun berjaya dipulihkan melalui tindakan pemantauan secara proaktif yang dilaksanakan oleh PPN Negeri Sembilan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Salah satu projek yang berjaya dipulihkan hasil daripada tindakan intervensi yang dilaksanakan oleh PPN Negeri Sembilan adalah projek membina Kompleks Sukan Rembau yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

“Projek tersebut berjaya dipulihkan melalui pelantikan kontraktor penyelamat disebabkan prestasi kontraktor terdahulu tidak memuaskan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya