Empat pemungut hutang mengaku tidak bersalah aibkan keluarga peminjam - Utusan Malaysia

Empat pemungut hutang mengaku tidak bersalah aibkan keluarga peminjam

NGOO YU TUNG (hadapan), S. Chandran, Sri Murugan dan Mohamad Amir Yusuf Suyitno didakwa di Mahkamah Majistret Kluang atas tuduhan mengaibkan keluarga peminjam wang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Empat pemungut hutang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan keluarga peminjam bagi tujuan memecahkan keamanan awam.

S. Chandran, 41, K. Sri Murugan, 28, Ngoo Yu Tung, 27, dan Mohamad Amir Yusuf Suyitno, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja telah mengaibkan dan membangkitkan kemarahan bapa peminjam berusia 66 tahun yang boleh memecahkan keamanan awam di hadapan sebuah rumah di Jalan Gunung Lambak, Taman Gunung Lambak, Kluang kira-kira pukul 5 petang, 23 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut menetapkan 2 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Terdahulu media melaporkan taktik terbaharu pemungut hutang dengan membuat bising di hadapan sebuah rumah peminjam di Taman Gunung Lambak, Kluang bulan lalu.

Mereka yang berpakaian seragam dipercayai daripada syarikat pemberi pinjaman membawa sepanduk dan menggunakan pembesar suara bagi menuntut hutang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN