Empat anggota polis tidak mengaku minta, terima rasuah berkaitan kes dadah - Utusan Malaysia

Empat anggota polis tidak mengaku minta, terima rasuah berkaitan kes dadah

EMPAT orang anggota polis dari Balai Polis Gemencheh, Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi melepaskan tahanan berkaitan kes dadah pada bulan Ogos lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat orang anggota polis dari Balai Polis Gemencheh, Tampin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi melepaskan tahanan berkaitan kes dadah pada bulan Ogos lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Mohamad Ikhwan Syafiq Mohammad, 27, Koperal Muhammad Syahar Sansudin@Samsudin, 34, Lans Koperal Muhammad Adib Hanizin, 27, dan Koperal Muhammad Ruzaini Firdaus Ismail, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 dan menerima suapan wang tunai RM800 daripada seorang wanita berusia 37 tahun.

Ia sebagai dorongan supaya dua anak lelaki kepada wanita itu dilepaskan dari tahanan polis kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12 tengah malam dan 3 pagi, 24 Ogos lalu di Balai Polis Gemencheh, Tampin.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, Azrul Zulkifli ketika dalam rayuan bagi pihak anak guamnya memohon jaminan yang rendah atas alasan Mohamad Ikhwan Syafiq, Muhammad Syahar, Muhammad Adib Hanizin dan Muhammad Ruzaini Firdaus sudah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil selain menanggung ibu bapa masing-masing.

Azrul Zulkifli berkata, tiga daripada anggota polis itu bergaji RM2,900 manakala Muhammad Ruzaini Firdaus bergaji RM3,200 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN