DUN Melaka: Pengeluaran ayam, lembu, telur melebihi SSR

DUN Melaka: Pengeluaran ayam, lembu, telur melebihi SSR

PENGELUARAN daging ayam di Melaka mencecah 96,000 metrik tan setahun yang bernilai RM768 juta membabitkan SSR 282.17 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekalan sumber protein seperti ayam, lembu, telur dan kambing melebihi keperluan yang diperlukan penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pengeluaran telur di Melaka mencecah 3.3 bilion biji dengan nilai RM1.1 bilion setahun melebihi nisbah kadar kepenggunaan (SSR) iaitu 853.92 peratus.

Kata beliau, pengeluaran daging ayam pula mencecah 96,000 metrik tan setahun yang bernilai RM768 juta membabitkan SSR 282.17 peratus manakala pengeluaran daging lembu atau kerbau mencecah 1,866 metrik tan setahun dengan SSR 33.04 peratus.

“Pengeluaran daging kambing dan biri-biri adalah 138 tan metrik tan setahun yang bernilai RM4.83 juta dengan SSR 13.41 peratus. Merujuk kepada data hasil pengeluaran sektor pertanian, perikanan dan penternakan tersebut ia mampu memastikan keperluan asas mencukupi untuk keperluan rakyat di negeri ini.

“Walaupun kadar sara diri bagi daging lembu dan kambing tidak mencapai 100 peratus tetapi daripada segi keperluan protein ia boleh ditampung melalui daging ayam dan telur ayam yang melebihi 100 peratus.

“Ini bermaksud telur dan ayam di negeri ini mencukupi untuk orang Melaka dan kita mampu untuk mengeksport ke luar bagi membantu pengeluaran di negeri-negeri pantai timur,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

MUHAMAD AKMAL Saleh menunjukkan aplikasi PriceCatcher dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Beliau menjawab soalan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai jumlah pengeluaran oleh petani, penternak dan nelayan di Melaka sama ada mampu memastikan barangan asas mencukupi untuk keperluan rakyat.

Tambah Muhamad Akmal, SSR sektor perikanan mencapai 92 peratus melalui pengeluaran akuakultur sebanyak 3,100 metrik tan setahun bernilai RM26.7 juta manakala tangkapan laut adalah 1,480 metrik tan setahun bernilai RM37.1 juta.

Sementara itu, Muhamad Akmal menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menggerakkan usaha dalam memastikan keterjaminan makanan asas.

Menurutnya, pelbagai insentif dan galakan telah diberikan kepada penternak dalam usaha meningkatkan pengeluaran sepanjang tahun ini dengan nilai keseluruhan RM478,717.

“Antara bantuan yang diberikan adalah bahan binaan kandang atau reban berjumlah RM64,391, mesin dan input ternakan (RM24,950), bantuan ternakan (RM14,776), ternakan rumput (RM9,600) serta baka ternakan bersubsidi (RM365,000),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya