KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hanya menerima wang ihsan berjumlah RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan setakat ini.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, jumlah itu bukan sahaja dilihat kecil malah perbezaannya turut ketaran berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak RM331.38 juta wang ihsan telah diterima oleh Kerajaan Negeri.
“Tahun 2021 pula, Kelantan menerima wang ihsan sebanyak RM201.04 juta manakala untuk 2020 sebanyak RM190.85 juta.
“Melihat kepada jumlah itu, saya masih meletakkan harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri agar baki bayaran dapat dilunaskan pada penghujung tahun ini,” katanya semasa menjawab soalandaripada Rozi Mohamad (Pas-Tendong) Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Rozi berkait dengan perbezaan ketara jumlah itu, ADUN Meranti itu memberitahu, pihaknya telah mengadakan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkiat dengan perkara tersebut.
“Sekarang bulan November, jadi masih ada ruang untuk kita mengharapkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menyalurkan wang ihsan ini kepada Kelantan.
“Memang asalnya yang kita tuntut adalah royalti petroleum dan semua orang tahu. Tetapi, sebelum kita dapat royalti kita harap PM salurlah wang ihsan terlebih dahulu,” ujarnya.
MOhd. Nassuruddin berkata, Kerajaan Negeri berhasrat mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan secara empat mata dengan Perdana Menteri.
Katanya, dalam mesyuarat bersama Menteri-menteri Besar Perdana Menteri memberi maklum balas positif terhadap hasrat Kelantan untuk mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkam beberapa perkara termasuk tuntutan wang ihsan.
“Kita sudah hantar surat tetapi mungkin kerana kesibukan beliau (Anwar) maka tarikhnya belum dapat ditetapkan. Kita harap perjumpaan itu dapat diadakan secepat mungkin,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (Pas – Pulai Chondong).-UTUSAN