BUKIT KAYU HITAM: Malaysia dan Thailand bersetuju memuktamadkan sebarang rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dicapai hasil pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Srettha Thavisin ketika mengadakan lawatan kerja sehari di Sadao, hari ini.
Menurut beliau, isu itu penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung Malaysia dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua negara.
Antaranya isu melibatkan jaringan lalu lintas yang lebih pantas dan selesa untuk rakyat kedua-dua negara, industri halal, soal keselamatan serta masalah pemburuan haram yang sedang berlaku di kawasan hutan di sempadan kedua-dua negara.
“Dalam tempoh dua minggu ini kita akan putuskan secara muktamad, saya tak mahu tangguh lagi perkara ini kerana kita ada sikap daripada kerajaan Thailand sekarang yang lebih lunak, akrab dan mahu menjadikan kawasan di utara semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu.
“Kalau kita lihat sebahagiannya (infrastruktur) di Sadao lebih cepat daripada kita walaupun ICQS kita lebih awal (dibina) dari Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu disiapkan segera tapi terpaksa menyentuh beberapa kawasan tentera yang ada dan terpaksa berunding dalam masa singkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kata Perdana Menteri, Malaysia dan Thailand juga sepakat untuk bekerjasama dalam industri halal memandangkan negara jiran itu memiliki kekuatan dari segi produk makanan sementara sijil halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa.
MENCAPAI
Anwar berkata, kedua-dua kerajaan juga telah mencapai persetujuan untuk membenarkan kenderaan pelancongan dari Malaysia dan Thailand bergerak pada jarak tertentu di negara masing-masing.
“Berkenaan kelulusan terkini untuk pergerakan kenderaan dari Thailand antara kedua-dua negara, ia harus berdasarkan prinsip balasan dalam hubungan antarabangsa. Sebagai contoh, jika Thailand meminta kenderaan mereka dibenarkan bergerak sehingga ke Pulau Pinang, kenderaan kita juga harus dibenarkan bergerak pada jarak yang serupa.
“Kita sudah bersetuju, tetapi kita akan menyelesaikan perbincangan secara terperinci. Saya ingin perkara ini diselesaikan dalam dua minggu, kemudian saya mahu nota itu diserahkan kepada pihak Thailand untuk mendapatkan respon dan pihak Thailand juga sedang melakukan perkara yang sama,” katanya.
Kata beliau lagi, kedua-dua negara turut bersetuju agar jawatankuasa pasukan tugas bersama yang berkaitan dengan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keselamatan makanan, serta keselamatan bertemu secara berkala tanpa perlu menunggu mesyuarat tahunan antara Perdana Menteri Thailand dan Malaysia.- UTUSAN