Dua hari Alor Setar berkabus tebal - Utusan Malaysia

Dua hari Alor Setar berkabus tebal

GAMBAR suasana kabus tebal yang dirakam kira-kira pukul 8.30 pagi di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ibarat di luar negara. Demikian suasana di beberapa daerah negeri ini terutama di Alor Setar dan Jerai yang diliputi kabus tebal dan cuaca sejuk pada awal pagi sejak semalam.

Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati, orang ramai terutama yang bergegas ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah terpaksa menyalakan lampu kenderaan ekoran jarak penglihatan terhad.

 Keadaan kabus tebal itu pulih seperti biasa sekitar pukul 10 pagi.

 Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, keadaan kabus tebal itu akibat hujan pada sebelah malam di beberapa daerah negeri ini.

 “Semalam hujan jadi banyak wap air di bawah dan ditambah bila angin kurang jadi fenomena kabus berlaku. Tempat yang banyak kabus selalunya di kawasan banyak pokok dan kawasan lembap di mana peralihan angin kurang.

 “Perkara ini setempat sahaja bukan kawasan yang besar. Apabila matahari semakin naik dan suhu panas, kabus sudah tiada,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Seorang jurujual, Kasim Omar, 55, berkata, cuaca kabus tebal itu berlaku sejak semalam yang berlarutan sehingga pukul 9.30 pagi hari ini.

 “Waktu keluar ke tempat kerja kira-kira pukul 8.30 pagi, cuaca masih berkabus tebal. Memang terpaksa nyalakan lampu kenderaan takut pengguna lain tak nampak kita. Jarak penglihatan terhad.

 “Selalunya, kalau waktu macam itu memang sudah terang benderang dengan sinaran matahari. Kadang pukul 7 pagi pun sudah rasa terlalu panas tetapi cuaca dua hari ini berbeza,” katanya.

 Jamil Aziz, 60, berkata, kebiasaannya cuaca hanya berkabus sehingga pukul 7 pagi  dan tidak tebal seperti hari ini.

 “Terkejut keluar rumah pukul 8 pagi tadi untuk beli sarapan kabus tebal macam dekat England pun ada. Cuaca pun sejuk,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya